JAWI: MASJID, SURAU DIMINTA BUAT SOLAT HAJAT, DOA KESEJAHTERAAN DI SUDAN

KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menyarankan agar masjid, surau Jumaat dan surau di seluruh Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan melaksanakan solat hajat dan doa selamat selepas solat Isyak pada 17 April 2023.
Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail berkata ia bagi mendoakan kesejahteraan dan keselamatan khususnya untuk rakyat Malaysia yang berada di Sudan susulan konflik dan ketegangan yang berlaku di negara itu ketika ini.
“Semoga rakyat Malaysia sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT pada setiap masa dan ketegangan di Sudan dapat dihentikan segera.
“Doa dan munajat yang dipanjatkan ke hadrat Allah SWT pada 10 malam terakhir Ramadan adalah lambang solidariti berpanjangan umat Islam untuk keamanan masyarakat di seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Konflik di Sudan, yang melibatkan dua pihak iaitu Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF), telah mencetuskan pergolakan politik serta menggugat keselamatan di negara itu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata kerajaan memantau rapi konflik berlaku di Sudan ketika ini dan akan membawa pulang rakyat Malaysia yang berada di negara berkenaan sekiranya situasi semasa memberi risiko kepada keselamatan mereka. — AlHijrah Online