Connect with us

ALHIJRAH NEWS

JHEAIPP ARAH BATAL CERAMAH AGAMA, PENCERAMAH TIADA TAULIAH

DALAM NEGARA

JHEAIPP ARAH BATAL CERAMAH AGAMA, PENCERAMAH TIADA TAULIAH

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) mengarahkan ceramah agama di Masjid Taman Semilang, Seberang Jaya di Bukit Mertajam, yang sepatutnya berlangsung malam tadi, dibatalkan kerana tiada kebenaran dan penceramah tiada tauliah sah.

BUKIT MERTAJAM: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) mengarahkan ceramah agama di Masjid Taman Semilang, Seberang Jaya di sini yang sepatutnya berlangsung malam tadi, dibatalkan kerana tiada kebenaran dan penceramah tiada tauliah sah.

Pengarah JHEAIPP Marzuki Hassan berkata ceramah pada 6.30 petang itu diarah dibatalkan selepas pihaknya menerima aduan mengenai penganjurannya yang tidak memenuhi peraturan ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

“Pihak masjid tidak membuat permohonan untuk menjadi penganjur dan penceramah pula tidak mempunyai tauliah, ia telah melanggar Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Pulau Pinang) 1996, Kaedah-Kaedah Pentadbiran Aktiviti Yang Berkaitan Dengan Pengajaran Agama (Negeri Pulau Pinang) 1998.

“Ketetapan MAINPP bertarikh 23 Mac 2023 yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong turut menetapkan hanya individu yang mempunyai tauliah atau kebenaran bertulis dibenarkan menyampaikan ceramah di masjid dan surau di negeri ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, seorang penceramah mempersoalkan program wacana ilmu bersama penceramah bebas yang dijadualkan di Masjid Sembilang di sini pada malam tadi, didakwa dibatalkan pada saat akhir.

Marzuki berkata ceramah itu juga telah melanggar Kaedah 15 dan 16(1) Kaedah-Kaedah Pentadbiran Aktiviti Yang Berkaitan Dengan Pengajaran Agama (Negeri Pulau Pinang) 1998 yang mewajibkan kelulusan JHEAIPP serta permohonan rasmi menerusi Borang 3 kepada Pengarah JAIPP.

Beliau berkata pihaknya turut mengingatkan bahawa tindakan seperti itu boleh dianggap menghina pihak berkuasa agama, justeru menyeru semua pihak agar menghormati undang-undang sedia ada dan memastikan segala program keagamaan di masjid serta surau diadakan mengikut prosedur ditetapkan.–AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

1 Comment

1 Comment

  1. Anonymous

    14 July 2025 at 10:32 PM

    Pendaftaran penceramah harus sahih dan berkelulusan diploma sekurang-kurangnya.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading