JKDM SITA 27,500 LITER AIR ZAM-ZAM

KLANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menyita sebuah kontena di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang sekaligus mematahkan cubaan penyeludupan air zam–zam.

Penolong Ketua Pengarah Kastam, Zon Tengah, Datuk Zazuli Johan berkata, hasil pemeriksaan mendapati kontena tersebut mengandungi 27,500 liter air zam –zam dianggarkan bernilai RM206,250 melibatkan cukai sebanyak RM66,000.

“Hasil siasatan mendapati kesemua air zam zam yang disita adalah diimport dari Arab Saudi tanpa permit import yang sah dan tanpa membayar cukai dan duti ke atasnya.

”Pengimport sebelum ini mengikrar dagangan sebagai ‘juices and drinking water’ di dalam daftar masuk sebagai modus operandi bertujuan mengelakkan daripada dikenakan duti cukai yang tinggi.

“Perbuatan mengimport air zam zam tanpa Permit Import merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 dan Peraturan 30(1) PeraturanPeraturan Zon Bebas (Pindaan) 2019,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Zazuli, sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak kurang daripada sepuluh kali nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih dari dua puluh kali ganda nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar, atau dipenjarakan tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali. — AlHijrah Online

Leave a Reply