KABINET PERPADUAN: KALI PERTAMA MENTERI AGAMA DILANTIK SETELAH PEROLEH PERKENAN MAJLIS RAJA-RAJA

KUALA LUMPUR: Teka teki siapakah bakal menyertai saf kepimpinan dalam Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim telah pun terjawab, Jumaat lalu.

Muka lama dan baharu dilantik bagi menggalas tanggungjawab meneruskan agenda membangunkan negara, memulihkan ekonomi, menstabilkan politik dan mengurus isu kesihatan rakyat, lebih-lebih lagi selepas negara mula beralih ke fasa endemik, daripada fasa sukar pandemik COVID-19.

Pengumuman Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan itu juga, buat pertama kalinya melantik seorang menteri penuh bagi urusan hal ehwal agama Islam, selepas mendapat perkenan Majlis Raja-Raja.

Pelantikan Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar minggu lalu, dibuat mengikut Perkara 2(1)(c) Peraturan Baru Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) 2022 yang diisytiharkan pada awal tahun ini.

“Seorang Menteri yang dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi urusan hal ehwal Islam setelah mendapat perkenan Majlis Raja-Raja daripada nama-nama yang disyorkan oleh Perdana Menteri,” menurut Perkara 2 (1) (c) Peraturan Baru Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) 2022.

Ia susulan ketetapan keputusan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Yang Ke-258 pada 9 hingga 10 Mac 2022.

Penubuhan MKI adalah hasil daripada Mesyuarat Majlis Raja-Raja Yang Ke-81 pada 17 Oktober 1968 yang menyaksikan Raja-Raja Melayu memperkenankan penubuhan sebuah badan di peringkat Persekutuan bagi menyelaraskan pengurusan hal ehwal Islam di Malaysia dalam bidang perundangan, pendidikan Islam dan pentadbiran Islam.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pula telah dipertanggungjawabkan sebagai sekretariat kepada MKI, dalam usaha merealisasikan hasrat-hasrat penubuhan Majlis berkenaan.

Sejak penubuhanya, peraturan MKI 1968 telah melalui siri pindaan kecil sebanyak tujuh kali iaitu pada tahun 1971, 1973, 1976, 1980, 2010, 2011 dan 2018. Namun, pada Mac 2022, Peraturan MKI yang baharu diisytiharkan, sekali gus membatalkan Peraturan MKI 1968 sebelumnya.

Sementara itu, pada 10 Julai 2018, Mesyuarat Majlis Raja-Raja Yang Ke-249 menubuhkan Jawatankuasa Tertinggi Majlis Raja-Raja Hal Ehwal Islam Peringkat Persekutuan (JKT) yang dipengerusikan bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Allahyarham Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

Felo Pusat Pengajian Islam Oxford, Datuk Dr. Afifi Al-Akiti pula dilantik sebagai Timbalan Pengerusinya, manakala lima tokoh Islam daripada pelbagai latar belakang, termasuk wakil dari Sabah dan Sarawak turut dilantik sebagai anggota.

Fungsi JKT adalah bagi mengkaji kedudukan pengurusan hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan, bidang kuasa serta keberkesanan institusi-institusi Islam sedia ada termasuk institusi perundangan dan kehakiman syariah.

Pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja Yang Ke-256 bertarikh 18 Februari 2020, laporan JKT, setebal dua jilid yang mengandungi 157 syor-syor mengenai cadangan penambahbaikan institusi-institusi Islam di peringkat Persekutuan, telah dipersembahkan.

Ia merangkumi cadangan membuat pindaan terhadap MKI khususnya dari segi struktur dan keanggotaan. -AlHijrah Online

Leave a Reply