KAKITANGAN TM BERDEPAN DETIK CEMAS, KENDERAAN HAMPIR TERJUNAM DI BUKIT BESAR

Gambar Tular.

KUALA TERENGGANU: Dua kakitangan Telekom Malaysia Berhad (TM) Terengganu berdepan detik cemas apabila pacuan empat roda dinaiki mereka tergelincir dan hampir terjunam di kawasan rekreasi Bukit Besar di sini, awal pagi tadi.

Pengurus Besar TM Terengganu Maliki Harun berkata ketika kejadian sekitar 1 pagi itu, dua kakitangan tersebut baru sahaja selesai menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan berjadual di pencawang TM yang teretak di puncak Bukit Besar.

“Kerja-kerja penyelenggaraan berjadual itu dijalankan pada 12 tengah malam sehingga 1 pagi. Setelah dua kakitangan kita yang berusia antara 30-an dan 40-an ini selesai bekerja, mereka menaiki pacuan empat roda menuruni bukit berkenaan dalam keadaan hujan yang agak lebat.

“Apabila sampai di satu lereng bukit yang telah runtuh, terdapat limpahan air yang deras daripada atas bukit melintasi jalan menyebabkan kenderaan tergelincir lalu hampir terjunam di lereng bukit tersebut,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Maliki berkata kedua-dua kakitangan tersebut berjaya menyelamatkan diri dan keluar daripada kenderaan jenis Nissan Frontier itu, sebelum mendapatkan bantuan rakan yang berada di puncak bukit.

Kedua-dua kakitangan juga tidak mengalami sebarang kecederaan dan kenderaan milik syarikat telah dialihkan pada 9 pagi tadi, katanya.

Beberapa foto yang memaparkan pacuan empat roda tersebut hampir terjunam di kawasan tanah runtuh turut tular di media sosial sejak pagi tadi. — AlHijrah Online

Leave a Reply