DASAR BERI MANFAAT PADA RAKYAT AKAN DITERUSKAN – MOHD NA’IM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar (kanan) ketika sidang media sempena Jualan Rakyat Penjawat Awam di Kompleks Islam hari ini. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Tuan Kamarul Arief Tuan Soh. — Bernama

PUTRAJAYA: Dasar berkaitan agama Islam yang dibuat oleh pentadbiran sebelum ini dan memberi manfaat kepada umat Islam akan dipertahan serta diteruskan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Mohd Na’im berkata ia termasuk meneruskan agenda pembentangan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau Rang Undang-Undang 355 sebagaimana dirangka sebelum ini.

“Saya tengok dalam konteks (Rang Undang-undang 355), ia sebahagian usaha memartabatkan (Islam), maknanya secara keseluruhan ia usaha ke arah tingkat kuasa Mahkamah Syariah.

“Saya nak tekan di sini, apa sahaja dasar sebelum ini yang memberi maanfaat kepada Islam dan rakyat, kita akan pertahan dan teruskan, inilah matlamat (untuk) menjadi manusia terbaik yang memberikan manfaat kepada Islam dan rakyat keseluruhan,” katanya selepas Program Sesi Ramah Mesra Sempena Jualan Murah Rakyat Penjawat Awam, di sini hari ini.

Ditanya adakah Rang Undang-Undang 355 akan dibentangkan dalam sesi Parlimen akan datang, beliau berkata perkara itu perlu dibincangkan dalam Mesyuarat Kabinet terlebih dahulu.

Media sebelum ini melaporkan, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata kertas cadangan rang undang-undang itu sudah berada di peringkat Pejabat Peguam Negara, namun tidak sempat dibentangkan berikutan Parlimen dibubarkan pada 10 Okt lepas.

Dalam perkembangan lain, ketika ditanya sama ada akan berlaku pertukaran jawatan pimpinan tertinggi di peringkat agensi bawah kementeriannya seperti di Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), beliau berkata perkara itu masih lagi dalam pertimbangannya. — AlHijrah Online

Leave a Reply