KADAR HAJI MENINGKAT, JEMAAH B40 DIKENAKAN BAYARAN RM10,980

KUALA LUMPUR: Jemaah haji Muassasah bagi kategori B40 musim 1443H/2022 akan dikenakan bayaran haji berjumlah RM10,980 seorang, peningkatan RM1,000 berbanding bayaran haji pada 2019.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Amrin Awaluddin bagi kategori bukan B40 pula akan dikenakan bayaran RM12,980.

“Kenaikan itu tidak dapat dielakkan berikutan beberapa kos termasuk inflasi, cukai nilai tambah (VAT), caj visa haji dan perlindungan insurans COVID-19 yang dikenakan Arab Saudi,” katanya dalam sidang media hari ini.

Ujarnya kadar bayaran haji berjumlah RM9,980 sebelum ini telah kekal sejak 2009 walaupun pelbagai kos menunaikan haji meningkat setiap tahun.

Jelas Amrin, ketetapan baharu itu bagi memastikan Bantuan Kewangan Haji dapat dirasai sepenuhnya oleh golongan yang memerlukan.

Berdasarkan infografik TH, kos haji bagi musim 1443H ialah RM25,540 dan Bantuan Kewangan Haji yang diberikan kepada B40 ialah RM14,560 manakala bukan B40 RM12,560.

Amrin dalam pada itu memaklumkan pihaknya merancang untuk mengeluarkan surat tawaran bermula Isnin ini.

Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad mengumumkan kuota jemaah haji Malaysia bagi tahun ini adalah sebanyak 14,306 orang iaitu 45 peratus dari jumlah kuota tahunan sebenar. – AlHijrah Online

Leave a Reply