Kadet bomba hilang ditemui lemas

GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kanowit yang hilang dibawa arus deras Sungai Kanowit ketika cuba menyelamatkan tiga rakan sekampungnya di Kanowit Ahad lepas ditemukan lemas hari ini.

Mayat Carlos Paee, 15, dijumpai terapung oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dekat Nanga Engkeriring, 15 kilometer dari lokasi kejadian kira-kira 8.10 pagi tadi, lapor Sinar Harian yang memetik Bernama.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kanowit, Arrahman Chik, mayat pelajar itu dibawa ke jeti Rumah Tony dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Kedua-dua ibu bapa mangsa juga telah membuat pengecaman dan mengesahkan mayat berkenaan adalah anak mereka.

Dalam kejadian di Bukung Jagoi kira-kira 1.47 tengah hari itu, Carlos bersama rakannya David Lee Jilan terjun ke sungai dan berenang ke arah perahu dinaiki tiga rakannya yang dihanyutkan arus deras Sungai Kanowit.

Bagaimanapun, cubaan menyelamatkan rakan mereka itu gagal kerana arus sungai yang deras menyebabkan mereka menyelamatkan diri tetapi hanya David yang berjaya berenang ke tebing sungai manakala mangsa tenggelam dan dihanyutkan arus deras.

Ketiga-tiga rakan mereka kemudian diselamatkan penduduk kampung yang kebetulan melalui lokasi kejadian menggunakan perahu.

Mangsa baharu sahaja selesai mewakili sekolahnya ke pertandingan Perkhemahan Kadet Bomba Peringkat Zon 4 di SMK Sarikei Baru sehari sebelum kejadian.

Leave a Reply