KANAK-KANAK 11 TAHUN RENTUNG DALAM KEBAKARAN KILANG

SUNGAI PETANI: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun mati rentung dalam kebakaran di sebuah kilang memproses getah sintetik di kawasan perindustrian bakar arang dekat Sungai Petani, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Anuar Abd Rahman berkata, mangsa dikenalpasti Misha Kasih, ditemui di tingkat atas kilang selepas kerja pemadaman dilakukan anggota bomba kira-kira jam 7.30 pagi.

Menurut Anuar, mangsa yang meninggal dunia adalah anak angkat keluarga pengurus kilang yang dipelihara sejak kecil.

Jelas beliau, ibu kanak-kanak terbabit yang juga warga Indonesia sudah pulang ke negara asal dan meninggalkan mangsa kepada pengurus kilang berkenaan untuk dijadikan anak angkat.

Beliau memaklumkan, siasatan awal mendapati kanak-kanak itu diserahkan kepada keluarga Melayu sejak kecil untuk dijaga kerana dia beragama Islam dan akan dibawa bermain serta tidur dalam kilang berkenaan bersama anak pengurus terbabit setiap malam. 

Katanya, ketika kejadian, anak pengurus kilang berjaya menyelamatkan diri manakala kanak-kanak terbabit gagal ditemui , malah asap tebal menyukarkan pencarian kanak-kanak terbabit.

Mangsa sepatutnya dihantar semula kepada keluarga Melayu yang menjaganya pada petang hari ini.

Anuar berkata, siasatan lanjut mendapati kilang terbabit telah beroperasi sejak 20 tahun lalu namun terpaksa mengecilkan penghasilan produk serta mengurangkan pekerja akibat pandemik COVID-19.

Mayat kanak-kanak terbabit dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk dibedah siasat.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Sayani Saidon berkata, kejadian dipercayai berlaku jam 4 pagi dan api marak dengan cepat kerana bahan getah mudah terbakar sehingga menyebabkan usaha menyelamat mangsa sukar.

Beliau berkata, kebakaran memusnahkan hampir 80 peratus keseluruhan kilang termasuk mesin pembuatan dengan jumlah kerugian dianggarkan RM8 juta.

Punca kejadian masih disiasat. –AlHijrah Online

Leave a Reply