JAWI ANJUR BULAN SOLAT PERINGKAT WILAYAH PERSEKUTUAN 

Majlid pelancaran Bulan Solat di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. -Sumber Gambar: JAWI

KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) melancarkan Bulan Solat Peringkat Wilayah Persekutuan di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan Datuk Haji Ahmad Marzuk Shaary, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). 

Turut hadir pada majlis tesebut Pengarah JAWI, Datuk Haji Mohd Ajib Ismail  dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee. 

JAWI dalam kenyataannya memaklumkan, program Bulan Solat ini bertujuan untuk menyeru umat Islam supaya meningkatkan dan memperbaiki kualiti ibadah solat dalam kehidupan serta menghayati hikmah dan kepentingan solat dalam pembentukan akhlak dan sahsiah insan.

Antara pengisian dan aktiviti menarik sepanjang Bulan Solat Peringkat Wilayah Persekutuan adalah kemudahan Surau Bergerak yang disediakan di tapak pasar malam sekitar Kuala Lumpur selain  Bengkel Solat Sempurna.

Turut dianjurkan aktiviti solat berjemaah bersama Komuniti Disayangi seperti mualaf, orang kurang upaya (OKU), pesakit HIV, transgender, rakan gelandangan dan lain-lain termasuk golongan kanak-kanak dan remaja.

Beberapa buah masjid dan surau di Wilayah Persekutuan turut menganjurkan program Subuh Perdana, Solat Dhuha Perdana serta pengajian khas berkaitan ibadah solat sepanjang Mac ini. 

Selain itu, Kursus Pengurusan Ibadah Pesakit juga diadakan di hospital dan pusat perubatan bagi mendedahkan ilmu berkaitan rukhsah solat kepada pesakit.

Program Bulan Solat Peringkat Wilayah Persekutuan adalah kesinambungan Sambutan Bulan Solat Peringkat Kebangsaan yang dilancarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Datuk Haji Idris Ahmad, Februari lalu. –AlHijrah Online

Leave a Reply