PUNCA KEMATIAN REMAJA MASIH DALAM SIASATAN – KJ

Sumber Gambar: BERNAMA

SHAH ALAM: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bercadang untuk membuat beberapa ujian tambahan terhadap sampel tisu dalaman mayat remaja yang didakwa meninggal dunia selepas divaksin pada 16 Januari lalu.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, hasil ujian itu berkemungkinan perlu dihantar ke luar negara untuk ujian selanjutnya.

Tambah Khairy, keputusan  bedah siasat dan  ujian yang dijalankan setakat ini, termasuk pemeriksaan histologi akan dibentang dan dibincangkan pakar forensik dalam satu sesi peer-review pada 7 Mac 2022 untuk pengesahan sebelum diserahkan kepada ibu bapa mendiang.

“Kesemua perkara ini telah dimaklumkan kepada kedua ibu bapa mendiang dan mereka memahami penerangan yang diberikan serta bersetuju dengan langkah-langkah yang akan diambil bagi mengenal pasti punca kematian mendiang.

“Saya sendiri telah menyatakan komitmen untuk pastikan perkara ini disusuli dengan segera,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata demikian selepas mengadakan perjumpaan bersama ibu bapa mendiang di Kementeria Kesihatan Malaysia. 

Perjumpaan selama 30 minit itu turut disertai Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Pakar Forensik Hospital Serdang, Dr Emizam Mohamadon.

Khairy Jamaluddin dalam masa sama turut menzahirkan rasa simpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang. 

Katanya, perkembangan siasatan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa dan pihaknya memohon orang ramai untuk menghormati privasi serta perasaan keluarga mendiang.

“Pada masa sama, saya juga memohon agar masyarakat tidak menyebarkan maklumat palsu mengenai kes kematian ini,” katanya.

Sebelum ini, tular satu video memaparkan ibu bapa remaja berkenaan merayu agar orang ramai mempertimbangkan hasrat untuk vaksinasi anak masing-masing.

Ibu bapa mendiang turut menggesa pihak bertanggungjawab untuk menjelaskan punca kematian mangsa beberapa minggu selepas mengambil suntikan pertama vaksin COVID-19. –AlHijrah Online

Leave a Reply