SESI PEMBELAJARAN SECARA BERSEMUKA PELAJAR SEKOLAH MENENGAH BERMULA 4 APRIL

KUALA LUMPUR: Kesemua pelajar sekolah menengah kecuali sekolah berasrama penuh, perlu hadir ke sekolah secara bersemuka bermula 4 April tanpa sebarang penggiliran.

Bagaimanapun, Menteri Kanan Pendidikan Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, sesi persekolahan Penggal 1, Kalendar Akademik Sesi 2022/2023 bagi pelajar sekolah menengah akan dimulakan secara pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dahulu selama dua minggu bermula 21 Mac.

Jelasnya, ketetapan tersebut juga diguna pakai kepada pelajar berkeperluan khas (MBK) di Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan (SMKPK), Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

“Pelajar kelas peralihan, Tingkatan Satu hingga Enam, pra universiti, International Baccalaureate Diploma Programme (IBDP) serta kelas peperiksaan antarabangsa yang setara turut hadir secara bersemuka tanpa penggiliran,” katanya menerusi video yang dimuat naik di laman Facebook, hari ini.

Bagi sekolah berasrama penuh, Radzi menjelaskan pelajar yang dibenarkan masuk ke asrama pada 4 April ialah pelajar Tingkatan 2, 3, 4, 5 dan Pra-Universiti, IBDP serta kelas peperiksaan antarabangsa yang setara.

“Manakala pelajar Tingkatan 1 yang berjaya masuk ke sekolah berasrama penuh perlu memilih sama ada menjalani PdPR atau menumpang di sekolah harian yang berdekatan kediaman sehingga tarikh kemasukan ke berasrama diumumkan,” jelasnya.

Sementara itu bagi sekolah swasta berasrama penuh yang mempunyai kapasiti untuk menguruskan keseluruhan pelajar juga boleh beroperasi sepenuhnya termasuk murid baharu Tingkatan Satu.

Bagi sekolah rendah yang mempunyai murid lebih 600 orang, murid yang akan hadir tanpa penggiliran melibatkan MBK di sekolah kebangsaan pendidikan khas (SKPK) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) termasuk murid prasekolah, Tahun 1, Tahun 2, Tahun 6 serta semua murid bawah program Rancangan Makanan Tambahan (RMT).

Katanya, bagi murid Tahun 3, Tahun 4 dan Tahun 5 pula akan hadir secara penggiliran dan ketetapan sama turut terpakai bagi sekolah swasta, ekspatriat dan antarabangsa.–AlHijrah Online

Leave a Reply