TIGA PENDAKI SESAT DITEMUI KELETIHAN

ALOR SETAR: Aktiviti tiga sahabat mendaki Gunung Keriang bertukar tragedi apabila mereka tersesat dan gagal mencari jalan keluar untuk turun dari gunung terbabit.

Mereka dikatakan mendaki gunung setinggi 217.92 meter itu kira-kira jam 6 pagi semalam untuk menikmati keindahan pemandangan sawah padi.

Menurut Ketua Penguasa Kanan Bomba, Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Zon Alor Setar, Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin, Pusat Gerakan Operasi (PGO) menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada jam 5 petang memaklumkan tiga lelaki terkandas di gunung tersebut.

Sejurus kemudian seramai lapan anggota dari pasukan Bomba Elit Multi Skills Team (MUST) bersama malim gunung dan anggota polis menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Katanya, kesemua mangsa ditemukan dalam keadaan keletihan di Puncak Gunung pada jam 11.30 malam.

Wan Mohd Hamizi memaklumkan, operasi membawa turun mangsa dilakukan dengan berhati-hati bagi mengelak berlaku kecederaan ekoran suasana gelap dan batuan licin.

Katanya, kesemua mangsa berjaya dibawa turun pada pukul 3.30 pagi tadi dan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk pemeriksaan kesihatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir menasihati orang awam yang ingin melakukan aktiviti mendaki supaya memaklumkan kepada pihak berkuasa dan mendaki bersama malim gunung yang berpengalaman bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Gunung Keriang yang merupakan merupakan gunung batu kapur purba setinggi 217.92 meter menjadi tarikan orang awam kerana terletak di tengah-tengah kawasan sawah padi. –AlHijrah Online

Leave a Reply