KLANG: Seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun dilaporkan cedera selepas kereta dinaikinya dihempap sebuah pokok yang tumbang akibat angin kencang, di Kampung Budiman, Jalan Paip, di sini malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian sekitar jam 10:43 malam.
Katanya, setibanya anggota bomba ke lokasi kejadian, terdapat sebatang pokok yang telah tumbang kemudian menghempap sebuah kenderaan jenis Myvi yang sedang bergerak.
“Terdapat dua orang mangsa yang terdiri daripada ibu dan anaknya.
“Kanak-kanak tersebut mengalami kecederaan ringan di bahagian kepala dan menerima tiga jahitan selepas dibawa ke klinik berhampiran manakala ibunya tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahmad Mukhlis berkata, kerja-kerja pemotongan dan pengalihan dahan kayu pokok telah selesai dilakukan oleh anggota bomba di lokasi kejadian.
Terdahulu, beberapa kawasan di sekitar Selangor termasuk Meru, Klang dilaporkan dilanda angin kencang serta hujan lebat, malam tadi.—AlHijrah Online