Connect with us

ALHIJRAH NEWS

WAU TERBANG, SOLIDARITI PALESTIN TERUS DIJULANG

DALAM NEGARA

WAU TERBANG, SOLIDARITI PALESTIN TERUS DIJULANG

Lebih 100 wau diterbangkan dengan membawa pelbagai reka bentuk dan mesej solidariti, termasuk gambaran Masjid Al-Aqsa yang menjadi simbol penting buat rakyat Palestin.

 

KUALA TERENGGANU: Bukan sekadar wau yang terbang di langit, tetapi simbol solidariti buat rakyat Palestin.

Itulah mesej yang ingin disampaikan menerusi program Pertunjukan dan Pertandingan Wau Solidariti Palestin anjuran Cinta Gaza Malaysia (CGM) di Kuala Ibai, Kuala Terengganu, hari ini.

Menerusi seni warisan tradisional itu, hampir 100 peserta daripada pelbagai peringkat usia berhimpun bagi menzahirkan sokongan terhadap rakyat Palestin yang terus berdepan penderitaan akibat konflik berpanjangan.

Lebih 100 wau diterbangkan dengan membawa pelbagai reka bentuk dan mesej solidariti, termasuk gambaran Masjid Al-Aqsa yang menjadi simbol penting buat rakyat Palestin.

Eksekutif Projek (Malaysia) CGM, Nur ‘Afifah Mohamad Yasin berkata, program itu bukan sekadar pertandingan, sebaliknya platform untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap nasib rakyat Palestin, khususnya kanak-kanak.

Menurutnya, inisiatif itu turut menyuarakan solidariti terhadap kanak-kanak Palestin yang berdepan ancaman, termasuk ketika menjalankan aktiviti bermain layang-layang.

“Sebab kenapa kita menganjurkan program ini adalah untuk sebagai tanda sebagai solidarity kita terhadap kanak-kanak dan juga masyarakat palestin yang yang mana kita tahu mereka telah diancam untuk bermain laying-layang disebabkan rejim israel mendakwa bahawa laying-layang yang dinaiki itu sebagai senjata dan kita bersolidariti untuk itu.”

Bagi peserta berusia 16 tahun, Ahmad Khalif Baihaqi Kamal Bakri, penyertaannya dalam pertandingan itu membawa makna tersendiri.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Muhammad Ismail itu mengambil masa dua hari untuk menyiapkan wau bertemakan Palestin, dengan bantuan ibunya, Suhana Nordin, yang melukis gambaran Masjid Al-Aqsa pada badan wau berkenaan.

Bagi mereka, wau itu bukan sekadar hasil seni, tetapi lambang ingatan dan sokongan terhadap rakyat Palestin.

“Wau ni dilukis oleh mak yang mengambarkan masjid al aqsa di palestin sanalah.. dan pertandingan ini untuk solidariti di palestin.”

Sementara itu, seorang lagi peserta, Abdul Rahim Mat Nor, 58, berkata, program seumpama itu mampu mendekatkan masyarakat dengan isu Palestin dan menyemarakkan kesedaran terhadap penderitaan yang dialami rakyat di wilayah berkenaan.

Beliau yang sering menyertai program solidariti Palestin berharap usaha sedemikian dapat diteruskan bagi memastikan isu berkenaan tidak dilupakan masyarakat.

“Pertandingan ni merupakan satu pertandingan yang memberikan kita satu inspirasi supaya kita lebih dekat dengan palestin dan apa yang telah dialami selama ini cukup memberi kesan yang besarlah kepada kita semua jadi kita menggerakkan semua supaya sedar akan bertapa pentingnya isu palestin ni bagi setiap umat islamlah bagi saya.”

Menurutnya, solidariti perlu dizahirkan secara berterusan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat Malaysia dan dunia terhadap penderitaan rakyat Palestin, khususnya di Gaza.–AlHijrah Online

 


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading