KLANG: Beberapa kawasan di sekitar Meru, Klang dilanda angin kencang, malam tadi.
Menerusi tinjauan di Facebook Group Meru Klang Residents, kejadian pokok tumbang, atap rumah serta khemah penjaja terbang telah berlaku sekitar jam 9.30 malam tadi.
Penduduk di sekitar kawasan Meru, Klang memuat naik gambar dan video kejadian angin kencang hingga beberapa pokok di kawasan Kampung Budiman, Jalan Paip serta Persiaran Hamzah dilaporkan tumbang.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, satu kejadian pokok tumbang telah berlaku di Persiaran Hamzah Alang, Meru, malam tadi.
Katanya, pihaknya telah menerima panggilan sekitar jam 9:58 malam sebelum mengerahkan anggotanya ke lokasi kejadian.
“Komander operasi melaporkan terdapat pokok telah tumbang telah menghalang jalan raya.
“Kerja-kerja pemotongan dan pengalihan dahan kayu telah selesai dilakukan oleh anggota bomba di lokasi,” katanya.
Jabatan Meteorologi Malaysia sebentar tadi memuat naik satu infografik memaklumkan ribut petir dan hujan lebat dijangkakan berlaku di beberapa negeri termasuk Selangor, sehingga jam 2 pagi 26 Ogos.
Kawasan yang terlibat di Selangor adalah Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat serta Sepang.
Negeri lain yang terlibat adalah Pahang (Bentong), Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan (Jelebu, Seremban, Port Dickson, Rembau dan Tampin), Melaka, Johor (Tangkak, Segamat, Muar dan Batu Pahat), Sarawak (Miri, Marudi dan Limbang) serta Sabah (Sipitang, Tenom, Beaufort, Nabawan, Papar dan Sandakan).—AlHijrah Online