
KUALA LUMPUR: Warnanya menarik, teksturnya lembut dan mudah dipicit, namun mainan ‘squishy’ yang menjadi kegemaran kanak-kanak boleh mendatangkan risiko keselamatan jika tidak sesuai dengan usia mereka.
Kanak-kanak bawah tiga tahun khususnya tidak sepatutnya diberikan mainan berkenaan sekiranya keselamatan produk tidak dapat dipastikan, berikutan kecenderungan mereka memasukkan objek ke dalam mulut yang boleh menyebabkan tercekik atau terdedah kepada bahan berbahaya.
Didatangkan dalam pelbagai bentuk, termasuk menyerupai makanan dan watak animasi, mainan ‘squishy’ mudah menarik perhatian kanak-kanak menerusi warna serta teksturnya yang lembut.
Namun, di sebalik daya tarikannya, aspek keselamatan mainan itu tidak boleh dipandang ringan, terutama bagi kanak-kanak kecil yang belum memahami bahaya memasukkan objek ke dalam mulut.

Pakar Pediatrik KPJ Klang Specialist Hospital, Dr. Lam Wai Wah berkata, pendedahan kepada bahan kimia, tertelan cebisan mainan atau tindak balas alahan boleh membawa kesan serius, termasuk mengancam nyawa.
“Risiko terdedah kepada bahan kimia termakan ke, tertelan ke, tersedak ke sebab kadang-kadang alergi boleh sampai bengkak saluran pernafasan, bengkak tekak, bengkak lidah dan itu semua boleh mengancam nyawa.”
Risiko tercekik pula antara bahaya utama yang perlu diberi perhatian, khususnya jika cebisan mainan atau kandungannya tertelan sehingga menghalang saluran pernafasan.
Keadaan itu boleh menyebabkan kanak-kanak mengalami batuk berterusan, kesukaran bernafas dan kekurangan oksigen yang memerlukan tindakan segera.
“Kalau dia termakan bahagian paling besar yang kita risau, biasanya kalau budak-budak tercekik lah. Kalau dia tercekik itu boleh menyebabkan tersedak, boleh menyebabkan batuk tak henti-henti, kesukaran bernafas dan yang paling teruk kekurangan oksigen.”
Selain risiko tercekik, kandungan bahan kimia dalam sesetengah mainan turut perlu diberi perhatian.
Menurut Dr. Lam, kesan pendedahan bergantung pada jenis bahan, jumlah yang terdedah serta tempoh pendedahan.
Antara kesan yang boleh berlaku termasuk iritasi atau tindak balas alahan pada kulit, mata dan saluran pernafasan.
Sehubungan itu, ibu bapa disaran lebih teliti ketika memilih mainan untuk anak-anak dengan memastikan produk bersesuaian dengan umur, mempunyai maklumat pengilang yang jelas dan mematuhi piawaian keselamatan berkaitan.
Elakkan memberikan mainan yang mudah pecah, mempunyai bahagian kecil yang boleh tertanggal atau tidak jelas kandungannya kepada kanak-kanak kecil.
Sekiranya anak mengalami kesukaran bernafas atau disyaki tertelan bahan daripada mainan, ibu bapa perlu mendapatkan bantuan perubatan dengan segera.—AlHijrah Online