Connect with us

ALHIJRAH NEWS

JAIS BERTINDAK IKUT LUNAS UNDANG-UNDANG, TIADA KAITAN ISU “PERANGKAP” – MAIS

DALAM NEGARA

JAIS BERTINDAK IKUT LUNAS UNDANG-UNDANG, TIADA KAITAN ISU “PERANGKAP” – MAIS

Bila dikatakan seolah-olah jabatan agama terlibat dalam manipulasi dan sebagainya, ini tidak benar sama sekali. Kami juga ada tanggungjawab mengikut undang-undang apabila aduan dibuat, kami perlu melakukan siasatan secara menyeluruh.

 

SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menafikan dakwaan bahawa penahanan bekas Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad berhubung kes khalwat oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada Khamis lepas ialah satu tindakan penganiayaan atau perangkap.

Pengerusi MAIS Datuk Salehuddin Saidin menegaskan bahawa agensi penguatkuasaan agama negeri itu bertindak sepenuhnya berlandaskan aduan rasmi yang diterima, serta mengikut undang-undang yang ditetapkan tanpa memanipulasi keadaan demi mengenakan mana-mana pihak.

“Bila dikatakan seolah-olah jabatan agama terlibat dalam manipulasi dan sebagainya, ini tidak benar sama sekali. Kami juga ada tanggungjawab mengikut undang-undang apabila aduan dibuat, kami perlu melakukan siasatan secara menyeluruh.

“Jadi, percayalah JAIS akan menjalankan siasatan sebaik mungkin dan kalau ada keterangan jelas kita akan buat pertuduhan di mahkamah,” katanya ketika ditemui selepas majlis Ijtimak Pemegang Tauliah Mengajar Negeri Selangor 2026 yang turut dihadiri Mufti Selangor Datuk Dr Anhar Opir di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz Shah, di sini hari ini.

Mengulas tindakan memaklumkan kes berkenaan kepada umum, Salehuddin berkata perkara itu dibuat bagi memberikan pencerahan bahawa undang-undang syariah dilaksanakan secara adil tanpa mengira latar belakang atau pengaruh individu yang disiasat.

Sehubungan dengan itu, beliau menggesa masyarakat supaya memberikan ruang secukupnya kepada JAIS bagi melengkapkan prosedur siasatan mendalam serta mengelakkan sebarang spekulasi liar yang boleh menjejaskan keadilan proses perundangan.

“Kita tidak boleh menjatuhkan hukum selagi siasatan belum lengkap, kita perlu berlaku adil dan melaksanakan tanggungjawab mengikut peraturan. Sekiranya dilakukan tanpa peraturan dan sebagainya, kita juga akan ditohmah,” katanya.

Terdahulu, Nik Nazmi dalam kenyataan di laman Instagramnya, mengesahkan beliau ialah seorang daripada dua individu yang ditahan JAIS atas dakwaan berkhalwat di Petaling Jaya, Khamis lepas dan bersedia memberikan kerjasama untuk sebarang proses perundangan.

—BERNAMA


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading