
PASIR MAS: Seorang lelaki direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes khianat di Masjid Al-Aziz Al-Hadi, Kampung Berangan, Tumpat, Kelantan.
Perintah reman sehingga 20 Oktober itu dikeluarkan oleh Majistret Wan Ashrul Afham Mohamad Azmi di Mahkamah Majistret Pasir Mas, hari ini.
Suspek berusia 38 tahun tiba di Kompleks Mahkamah Pasir Mas kira-kira jam 9 pagi tadi dengan diiringi pegawai dan anggota polis.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie berkata, suspek ditahan di Kota Bharu petang semalam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 295 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, pada pagi 5 Oktober lalu, Masjid Al-Aziz Al-Hadi, Kota SPP Warisan, Kampung Berangan, dipercayai diceroboh seorang lelaki yang membawa sebuah tong sebelum menuangkan cecair berwarna coklat kehijauan di ruang solat lelaki, termasuk di bahagian meja ceramah.
Cecair berkenaan dipercayai mengandungi campuran najis binatang, bulu, serpihan tulang serta ulat.
Susulan kejadian itu, kerja pembersihan dan sertu terpaksa dilakukan oleh kontraktor selama tiga hari, melibatkan hampir keseluruhan ruang di tingkat bawah masjid berkenaan.
Suspek dipercayai tiba dengan menunggang motosikal sebelum memecahkan pintu kaca masjid dan menuangkan cecair daripada tong yang dibawanya.
Kejadian itu turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) masjid sebelum rakaman berkenaan tular di media sosial.—AlHijrah Online