REMBAU: Suasana pilu menyelubungi Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau selepas seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun dilaporkan meninggal dunia dipercayai tertinggal di dalam kereta ibunya selama hampir sembilan jam.
Ahli keluarga mangsa hadir menunggu proses bedah siasat, dengan beberapa individu dilihat menangis dan saling berpelukan.
Difahamkan, proses bedah siasat bermula pada jam 2 petang, namun ahli keluarga mangsa sudah berada di hospital sejak jam 11.45 pagi. Sehingga jam 6.30 petang, proses itu masih dijalankan.
Sebelum ini, media melaporkan ibu mangsa berusia 35 tahun, yang bekerja di sebuah bank di Seremban, hanya menyedari anaknya tertinggal di dalam kereta ketika mahu pulang ke rumah pada jam 5 petang.
Ketua Polis Daerah Seremban, Superintenden Azahar Abdul Rahim, berkata polis menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada orang awam pada jam 6.15 petang. Hasil siasatan awal mendapati mangsa ditemui tidak sedarkan diri di dalam sebuah kereta jenis Proton Saga.
Mangsa dipercayai ditinggalkan di dalam kereta sejak jam 8 pagi kerana ibu mangsa terlupa menghantarnya ke rumah pengasuh. Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Rembau untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, dan ibu mangsa telah ditahan bagi membantu siasatan. Polis meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan. Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban di talian 06-603 3222.