AMPANG: Madrasah Baqiyathus Salihath, Kampung Tasek Permai, Ampang, hari ini menafikan dakwaan bangunan institusi tersebut didirikan secara haram di atas rizab talian penghantaran milik Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Memetik laporan media tempatan, pengerusinya Rahmthullah Kadar memaklumkan pembinaan madrasah itu didirikan dengan pengetahuan serta kelulusan pihak berkuasa sejak lebih 30 tahun lalu.
Jelasnya, madrasah yang bermula sebagai surau dan madrasah pondok itu beroperasi sejak 1987, sebelum dinaik taraf bangunan dua tingkat pada awal 1990-an berikutan pertambahan jemaah dan pelajar.
“Sejak awal penubuhan, pihak madrasah sentiasa membuat permohonan kepada kerajaan negeri berhubung status tanah berkenaan, dan dimaklumkan bahawa penggunaannya adalah dibenarkan ketika itu.
“Kami bukan bina madrasah ini secara haram kerana sejak awal lagi permohonan tanah telah dibuat dan kami dimaklumkan boleh menggunakannya tanpa masalah,” katanya.
Madrasah tersebut juga didaftarkan setiap tahun di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), tambahnya.
Ujar Rahmthullah, tanah itu diserahkan kerajaan negeri kepada TNB pada 2003 bagi tujuan projek utiliti dan hasil perbincangan melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), masjid serta TNB, satu perjanjian aku janji telah dikeluarkan yang membenarkan madrasah itu terus beroperasi dengan syarat tertentu.
“Pihak TNB membenarkan kami kekal di sini dengan syarat tiada penambahan binaan kekal dibuat. Kami mematuhi syarat tersebut sepenuhnya dan tidak pernah melanggar arahan atau menimbulkan sebarang pertikaian,” ujarnya.
Jelasnya lagi, pihak madrasah membelanjakan lebih RM200,000 bagi kerja-kerja pengubahsuaian termasuk penukaran bumbung zink kepada bahan gentian selaras dengan kehendak keselamatan TNB.
Susulan dakwaan tular mengatakan madrasah itu didirikan secara haram, pihak madrasah telah membuat laporan di bu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang malam tadi sebagai faktor keselamatan selain menangkis dakwaan dan bukan untuk membesarkan isu.—AlHijrah Online