KANAK-KANAK NYARIS DIREMPUH KERETA

ALOR GAJAH: Seorang kanak-kanak nyaris dirempuh sebuah kereta ketika ibu bapanya leka melayan tetamu yang datang beraya, di Kampung Permai, Machap Umboo di sini.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supt Arshad Abu berkata, kejadian yang berlaku sekitar jam 3.30 petang 3 Mei lalu itu melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang meluru secara tiba-tiba ke arah jalan raya.

Bagaimanapun katanya kanak-kanak tersebut bernasib baik selepas sebuah kereta jenis Kia Forte sempat berhenti dan penumpangnya keluar menyelamatkan kanak-kanak tersebut.

“Berdasarkan maklumat diterima, ibu bapa kanak-kanak berkenaan yang pulang ke kampung dipercayai sibuk beraya sehingga terlupa tutup pintu rumah yang terletak di tepi jalan raya.

“Keadaan itu menyebabkan anak perempuannya berusia tiga tahun berlari keluar melintas jalan sebelum pemandu sebuah kereta sempat menekan brek dan penumpangnya keluar menyelamatkan kanak-kanak berkenaan,” katanya.

Ujar Arshad, pihaknya tidak menerima sebarang laporan dan tidak membuka kertas siasatan berhubung kejadian yang tular di media sosial itu.

“Ibu bapa perlu lebih peka mengawal anak terutama kanak-kanak yang aktif dan sukar diramal pergerakannya.

“Keseronokan meraikan Aidilfitri tidak seharusnya bertukar tragedi yang boleh dielakkan jika kita lebih berhati-hati,” katanya.

One comment

Leave a Reply