KANAK-KANAK RENTUNG DALAM KEBAKARAN

LAHAD DATU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun maut selepas ditemui rentung dalam kebakaran melibatkan dua rumah di Kampung Tanjung Labian, Sungai Bilis, di sini hari ini.
Kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi tadi melibatkan mangsa Abu Bakar Ash Siddiq Rajesh yang gagal menyelamatkan diri selepas terperangkap dalam salah sebuah rumah tersebut.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Penolong Penguasa Bomba, Sumsoa Rashid, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.05 pagi.
Katanya, seramai lapan anggota dan pegawai bersama jentera dari Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Felda Sahabat dikerah ke lokasi kejadian sejauh 120 kilometer dari BBP Lahad Datu.
“Sebaik tiba, terdapat dua rumah jenis tidak kekal musnah akibat kebakaran namun pasukan bomba tidak melakukan tindakan pemadaman kerana api sudah dipadam sepenuhnya oleh PBS Felda Sahabat.
“Mayat mangsa kanak-kanak itu ditemui dalam keadaan rentung dan mengikut pemerhatian awal, mayat mangsa berada di kedudukan bahagian ruang tamu rumah berkenaan,” katanya.
Difahamkan ketika kejadian mangsa dipercayai berseorangan di rumah manakala kedua ibu bapanya keluar ke Bandar Lahad Datu.
“Mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut dan operasi ditamatkan pada jam 2.40 petang,” katanya.—AlHijrah Online