KEKURANGAN 391,223 PEKERJA ASING BERI KESAN BURUK KEPADA EKONOMI

KUALA LUMPUR: Hanya terdapat 76,000 kemasukan pekerja asing ke dalam negara tahun ini daripada 467,223 jumlah kuota yang telah diluluskan.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Sulaiman Mahbob berkata kekurangan 391,223 kuota yang tidak diisi itu tidak boleh dipandang remeh kerana boleh memberi impak kepada sektor dan aliran ekonomi negara.
Jelas beliau, jumlah kuota yang telah dibayar pula ialah 416,634 membabitkan sektor pembinaan, perkhidmatan, perkilangan, perladangan, pertanian, perlombongan dan pengkuarian menjadikan jumlah keseluruhan pembayaran levi ialah RM713,890,800.
“Jumlah terkumpul bagi pembayaran levi adalah sekitar RM700 juta. Tapi pekerja asing yang tiba ke negara hanya sekitar 76,000 orang. Justeru saya berharap Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Sumber Manusia, dan Ketua Setiausaha Negara (KSN) menyemak semula punca tersebut. Isu pekerja asing yang tidak dapat datang akan menjejaskan sektor-sektor yang berkaitan dan melambatkan pemulihan ekonomi negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pemulihan Negara di ibu negara.
Dalam pada itu, jumlah kemasukan pekerja asing yang diterima membabitkan Bangladesh, Cambodia, India, Indonesia, Pakistan, Thailand, Vietnam dan lain-lain.
Tegasnya, isu tersebut perlu dipandang serius memandangkan ekonomi dijangka akan memburuk dan dibimbangi menjurus kepada kemerosotan ekonomi yang berganda.
Justeru, beliau berharap agar usaha Pelan Pemulihan Negara 2.0 dapat dilaksana dan dimantapkan untuk mengekalkan ketahanan ekonomi negara.
Selain itu, beliau juga berharap agar agensi kerajaan dan pihak universiti untuk bersama-sama melakukan kajian yang lebih terperinci mengenai cadangan untuk mencari jalan penyelesaian sekali gus memantapkan aliran ekonomi negara.-AlHijrah Online