KES COVID-19 TERUS MENINGKAT DI 10 NEGARA ARAB

ANKARA/BEIRUT: Pihak berkuasa kesihatan di beberapa negara Arab mengesahkan kes baharu dan kematian akibat koronavirus pada Rabu, demikian laporan agensi berita Anadolu.

Kementerian Kesihatan Kuwait memaklumkan ia merekodkan 28 kes baharu menjadikan keeluruhan 317 kes di negara itu.

Tujuh lagi pesakit didiscaj daripada hospital menjadikan jumlah keseluruhan 80 kes sembut di Kuwait.

Di Lubnan, Kementerian Kesihatannya melaporkan 16 kes baharu menjadikan keseluruhan 479 kes jangkitan dengan tujuh dalam keadaan kritikal.

Angka kematian di negara itu kini mencecah 14 kes apabila pihak berkuasa mengesahkan dua lagi kes maut.

Enam individu didiscaj daripada hospital menjadikan keseluruhan 43 pesakit telah sembuh.

Pihak berkuasa di Iraq melaporkan seorang maut dan sembilan kes jangkitan baharu. Angka kematian meningkat kepada 51 kes dengan keseluruhan 804 kes jangkitan.

Di Arab Saudi, Kementerian Kesihatannya mengumumkan 157 kes baharu menjadikan keseluruhan 1,720 kes jangkitan koronavirus. Enam lagi maut menjadikan keseluruhan 16 kematian akibat wabak itu.

Kementerian Kesihatan Maghribi pula mengesahkan 37 kematian dilaporkan di negara itu dengan jumlah individu dijangkiti kini mencecah 638 kes termasuk 21 kes baharu.

Jumlah pesakit yang sebuh di negara itu adalah 26 kes.

Kementerian Kesihatan Algeria pula mengesahkan 14 lagi maut akibat koronavirus termasuk seorang Ahli Parlimen, menjadikan keseluruhan 58 maut di negara itu.

Negara itu kini merekodkan 61 kes jangkitan koronavirus.

Kementerian Kesihatan Mesir pula mengesahkan enam kes maut baharu menjadikan keseluruhan 52 kematian di negara itu dengan jumlah 179 kes jangkitan koronavirus.

Angka kematian di Tunisia pula mencecah 12 kes selepas pihak berkuasa mengesahkan dua lagi maut akibat wabak itu.

Kementerian Kesihatan Tunisia berkata 423 kes jangkitan direkodkan di negara itu dengan lima lagi pesakit telah didiscaj daripada hospital.

Kementerian Kesihatan Qatar melaporkan kes jangkitan meningkat kepada 835 kes dengan 71 pesakit telah sembuh.

Setakat ini, negara itu mencatat dua kes maut akibat koronavirus.

Menteri Kesihatan Jordan, Sa’ad Jaber berkata negara itu merekodkan empat kes baharu, menjadikan keseluruhan 278 kes koronavirus.

Pihak berkuasa di Jordan setakat ini mencatatkan lima kematian akibat wabak penyakit itu.

Muncul di Wuhan, China pada Disember lalu, virus yang dikenali sebagai COVID-19 itu kini menular di sekurang-kurangnya 176 negara dan wilayah di seluruh dunia.

Angka kematian global kini mencecah 46,809 kes dengan 932,605 kes jangkitan dan 193,777 kes sembuh, demikian menurut data Universiti Johns Hopkins berpangkalan di Amerika Syarikat.

Koronavirus menyerang saluran pernafasan dan berpotensi menyebabkan radang paru-paru yang membawa maut.

Bagaimanapun kebanyakan kes mengalami simptom biasa dan sembuh kecuali warga emas dan mereka yang mempunyai sejarah penyakit kronik yang berisiko tinggi. – Terjemahan AlHijrah Online

Leave a Reply