KETETAPAN BAHARU SOLAT JUMAAT DI SELANGOR

GAMBAR OLEH AFP

KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengumumkan ketetapan baharu bagi solat fardu Jumaat di negeri Selangor.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, JAIS memaklumkan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan membenarkan penggunaan sepenuhnya ruang solat utama dan ruang limpah di semua masjid dan surau, yang mendapat kebenaran Solat Jumaat di negeri ini bagi menunaikan solat fardu Jumaat.

Pengarahnya Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata Sultan Selangor turut berkenan bagi jarak antara satu jemaah dengan jemaah yang lain ditetapkan dengan jarak 1.0 meter.

“Berikutan perkenan terkini Sultan Selangor, satu surat ketetapan mengenainya akan dikeluarkan dan diedarkan oleh jabatan ini kepada kesemua masjid dan surau terlibat dalam tempoh terdekat, untuk dilaksanakan pada hari Jumaat bertarikh 21 Januari 2022,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketetapan baharu itu akan memberi kesan peningkatan kapasiti bilangan jemaah Solat Fardu Jumaat di seluruh Selangor sehingga 35 peratus, tertakluk kepada keluasan fizikal masjid dan surau, berbanding jumlah bilangan jemaah Solat Fardu Jumaat dibenarkan melalui ketetapan terakhir jabatan itu pada 1 November 2021.

Sebanyak 427 buah masjid dan 316 surau yang mendapat kebenaran Solat Jumaat akan terlibat dengan ketetapan terbaru ini.

“Sebanyak 427 buah masjid dan 316 surau yang mendapat kebenaran Solat Jumaat akan terlibat dengan ketetapan terbaru ini.

“Ketetapan baharu ini masih menetapkan bagi pihak pentadbir masjid dan surau untuk menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kepada para jemaah,” katanya.

Mohd Shahzihan berkata pihaknya berharap ketetapan baharu ini akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh umat Islam khususnya golongan muda untuk berusaha mendapat tempat bagi menunaikan solat fardu Jumaat. – AlHijrah Online

Leave a Reply