KLUSTER SIVAGANGGA TELADAN TERBAIK KESAN INGKAR ARAHAN KERAJAAN – KKM

GAMBAR IHSAN: BERNAMA/SINAR HARIAN

KUALA LUMPUR: Sikap degil dan tidak mematuhi arahan yang diberikan kerajaan dalam mengawal penularan COVID-19 bukan sahaja memberi kesan kepada diri sendiri dan keluarga malah kepada masyarakat sekeliling dan negara.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjelaskan, kluster Sivagangga adalah contoh teladan terbaik akibat yang berlaku jika ingkar atau melanggar arahan kerajaaan.

“Kluster Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Sivagangga paling mendapat perhatian masyarakat di negara ini.

“Kes indeks kluster ini telah ingkar arahan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) dan menyebarkan jangkitan kepada pekerja-pekerjanya di kedai makan di Napoh, Kedah, serta kepada pelanggan dan seterusnya merebak kepada ahli keluarga dan saudara mara terdekat.

“Setakat 9 Ogos, 45 positif dari kluster ini dan telah menjangkau generasi ketiga melibatkan tiga negeri, Kedah, Perlis dan Pulau Pinang,” kata KKM melalui satu hantaran di Facebook rasmi kementerian itu.

Tambah KKM, akibat kluster ini, empat mukim di Kubang Pasu dan dua kampung di Perlis dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (TEMCO) dan beberapa sekolah terpaksa ditutup.

Namun, KKM berkata sekarang bukan lagi masa menuding jari dan menyalahkan mana-mana pihak.

“Perkara yang telah berlaku dijadikan panduan untuk kita mematuhi setiap arahan kerajaan khasnya nasihat kesihatan oleh KKM.

“Langkah-langkah pencegahan mesti dilakukan setiap masa kerana amalan kesihatan awam ini paling berkesan mengelak jangkitan sebelum vaksin dihasilkan,” tambah KKM.

KKM turut menasihatkan orang ramai kekal memakai pelitup muka sebaik keluar rumah dan membiasakan diri dengan budaya norma baharu untuk melindungi diri.

Sivagangga juga dieja Sivagangei atau Sivagangi adalah satu daripada sembilan daerah di negeri selatan India, Tamil Nadu.

Kluster ini dinamakan Sivagangga kerana kes indeks mempunyai sejarah perjalanan ke daerah itu. — AlHijrah Online / Zaim Zamani

Leave a Reply