SPRM SIASAT DAKWAAN PIHAK BERKUASA LINDUNGI PREMIS PERJUDIAN DI SUNGAI BULOH

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat dakwaan pihak berkuasa cuba melindungi premis perjudian haram di sekitar Sungai Buloh.

Lapor Bernama, perkara itu dimaklumkan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya.

Baru-baru ini tular video di Facebook yang dimuat naik seorang lelaki mendakwa wujud kegiatan perjudian haram di sekitar Bandar Baru Sungai Buloh.

Lelaki berkenaan juga memaklumkan telah melaporkan kegiatan itu kepada pihak berkaitan namun masih ada premis perjudian yang beroperasi.

Sementara itu media semalam melaporkan, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar, berkata individu terbabit tidak pernah tampil memaklumkan kepada polis kewujudan premis judi.

Shafa’aton berkata, tindakan pengadu itu memuat naik dua video secara langsung menerusi akaun Facebook Hot Burger Malaysia boleh menimbulkan fitnah dan merosakkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Memetik Bernama, Shafa’aton dilapor berkata pada tahun lepas sahaja, polis melakukan 91 serbuan dan 107 tangkapan sekali gus membuktikan bahawa polis tidak pernah bersekongkol dalam aktiviti perjudian.— AlHijrah Online / Zaim Zamani

Leave a Reply