PERUNTUKAN SEKOLAH AGAMA, TAHFIZ DINAIKKAN KEPADA RM100 JUTA PADA 2019 DAN 2020

KUALA LUMPUR: Kerajaan terus komited memastikan institusi pendidikan pondok, tahfiz dan sekolah agama di negara ini sentiasa kekal berdaya saing selari dengan aspirasi negara.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata, komitmen itu dapat dilihat menerusi jumlah dana yang disalurkan dalam bidang pendidikan agama yang meningkat kepada RM100 juta pada 2019 dan 2020 berbanding peruntukan pada 2017 dan 2018.

“Bermula tahun 2017, kerajaan persekutuan telah menyediakan peruntukan khas secara one-off sebanyak RM80 juta. Peruntukan ini merangkumi institusi pondok sebanyak RM50 juta dan tahfiz sebanyak RM30 juta.

“Manakala pada tahun 2018, kerajaan persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM75 juta. (Daripada jumlah itu) institusi pondok diperuntukkan sebanyak RM25 juta dan institusi tahfiz sebanyak RM50 juta yang disalurkan melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) di bawah seliaan GiatMARA,” katanya.

Jelas Ahmad Marzuk, pada tahun 2019 pula kerajaan memperuntukkan sebanyak RM100 juta secara one-off.

Peruntukan itu merangkumi RM25 juta untuk institusi pondok, RM50 juta untuk institusi tahfiz dan RM25 juta pula untuk Sekolah Agama yang disalurkan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Keprihatinan kerajaan persekutuan berhubung perkara ini dapat dilihat menerusi pembentangan bajet 2020 iaitu sebanyak RM100 juta telah diluluskan di mana RM25 juta untuk institusi pondok, RM50 juta untuk institusi tahfiz dan RM25 juta untuk sekolah agama,” katanya.

Ujarnya kesemua peruntukan itu diagihkan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa yang meminta kerajaan menyatakan jumlah peruntukan diberikan kepada sekolah agama, tahfiz dan pondok bagi tahun 2017 sehingga 2020. — AlHijrah Online

Leave a Reply