RM189.9 JUTA DIBELANJAKAN DI BAWAH MUSA’ADAH COVID-19, MANFAATKAN 700 RIBU INDIVIDU

KUALA LUMPUR: Sejumlah RM189.9 juta nilai bantuan telah dibelanjakan melalui program Musa’adah Covid-19 yang telah digerakkan oleh agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Timbalan Menterinya, Ahmad Marzuk Shaary berkata, program bantuan itu telah memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 700 ribu individu di seluruh Malaysia merangkumi golongan asnaf fakir dan miskin, golongan B40, gelandangan, golongan kelainan upaya (OKU), masyarakat orang Asli, para pelajar serta petugas barisan hadapan termasuk kepada komuniti bukan Islam.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui agensinya seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Lembaga Tabung Haji, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dan AlHijrah Media Corporation (TV AlHijrah) telah menyalurkan bantuan yang memberikan manfaat secara langsung kepada kumpulan sasar yang telah dinyatakan dalam bentuk bantuan wang tunai secara one off, barangan keperluan asas dan pek makanan harian,” katanya.

Jelas Ahmad Marzuk, aspek pendidikan turut diberikan perhatian dengan pengecualian bayaran tadika dan taska di bawah kelolaan MAIWP bernilai RM0.88 juta yang diberikan kepada para ibu bapa bagi bulan April hingga Jun 2020.

Selain itu, bantuan one-off sebanyak RM21 juta turut diberikan kepada tahfiz swasta, pondok, sekolah agama rakyat dan sekolah agama swasta yang berdaftar dengan pihak berwajib di seluruh negara.

“Tambahan itu, seramai 240 orang penyewa premis milik MAIWP turut mendapat manfaat apabila diberikan pengecualian dan pengurangan bayaran sewa premis selama tiga bulan.

“MAIWP (juga) telah menyumbang sebanyak RM3.3 juta kepada tujuh buah hospital bagi tujuan pembelian peralatan pernafasan dan MAIWP turut menyalurkan RM4.8 juta kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi tujuan pembelian keperluan perubatan seperti pelitup muka, termometer dan pensanitasi tangan,” katanya.

Menurut Ahmad Marzuk, selain sumbangan berbentuk material, JAKIM telah mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan Bilik Gerakan MyCareCoV19.

Modus operandi Bilik Gerakan MyCareCoV19 ini katanya ialah untuk memeluk emosi golongan yang terjejas akibat PKP tanpa mengira kaum dan agama melalui khidmat nasihat dan bimbingan yang diberikan kepada mereka.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berhubung jenis sumbangan daripada agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk program Musaadah COVID-19 serta golongan-golongan sasar yang terlibat. — AlHijrah Online / Zaim Zamani

Leave a Reply