KUMPULAN KEEMPAT JEMAAH TABLIGH MALAYSIA TERKANDAS DI INDIA SELAMAT TIBA

GAMBAR SEKADAR HIASAN. KREDIT: AIRPLANE-PICTURES.NET

KUALA LUMPUR: Kumpulan keempat jemaah tabligh rakyat Malaysia seramai 9 orang yang terkandas di Kolkata, India telah selamat tiba di tanah air menerusi pesawat Air India Express pada jam 3.11 petang semalam.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar berkata jemaah tabligh terlibat tidak dikenakan sebarang pertuduhan dan telah ditempatkan di bawah pengawasan pihak berkuasa tempatan India di Haj House, Kolkata sejak 1 April 2020 bagi menjalani kuarantin yang ditetapkan oleh pihak kerajaan negara itu.

“Dengan kepulangan 9 orang jemaah tabligh tersebut, Kementerian Luar Negeri telah berjaya membawa pulang seramai 124 daripada 189 orang jemaah tabligh yang terkandas di India.

“Seramai 115 orang jemaah tabligh rakyat Malaysia sebelum ini telah dibawa pulang menerusi tiga Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) masing-masing pada 17, 22 dan 29 Julai 2020,” katanya dalam kenyataan rasmi malam tadi.

Jelas Kamarudin sebagaimana tiga kumpulan sebelum ini, jemaah tabligh yang dibawa pulang semalam akan menjalani kuarantin wajib 14 hari di Stesen Kuarantin (QS) yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Sehingga hari ini, masih terdapat seramai 65 orang jemaah tabligh rakyat Malaysia yang masih berada di India. Daripada jumlah tersebut, seramai 13 orang berada di New Delhi bagi menunggu pelepasan dan kebenaran pulang daripada kerajaan India.

“Baki 52 orang lagi sedang menjalani proses perundangan di beberapa wilayah di India di Bihar, Jharkand, Telangana, Tamil Nadu dan Maharashtra,” katanya.

Kamarudin berkata kerajaan Malaysia turut merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada kerajaan India, termasuk pihak berkuasa tempatan yang membolehkan kepulangan jemaah tabligh terlibat.

Wisma Putra berkata Kamarudin akan terus meningkatkan usaha serta jalinan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan di India dalam usaha memudahcara kepulangan baki 65 orang jemaah tabligh rakyat Malaysia yang masih berada di negara itu segera dengan selamat. — AlHijrah Online

Leave a Reply