DUA PROJEK RUNDINGAN TERUS KPKT DIBUAT TANPA PENGETAHUAN MENTERI- ZURAIDA

KUALA LUMPUR: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin memaklumkan dua projek yang diluluskan kementeriannya sewaktu pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan dibuat tanpa pengetahuannya.

Zuradia berkata beliau memberi jaminan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan melakukan siasatan membabitkan perkara itu.

“Saya maklum mengenai kenyataan Kementerian Kewangan membabitkan projek rundingan terus sewaktu pentadbiran Pakatan Harapan yang turut mengaitkan KPKT menawarkan projek rundingan terus.

“Ingin saya tegaskan 2 projek yang diluluskan kepada KPKT, sewaktu saya menjawat tugas sebagai menteri semasa pentadbiran terdahulu dibuat di luar pengetahuan saya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Semalam Kementerian Kewangan melalui menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, mendedahkan senarai 101 projek yang bernilai RM6.61 bilion yang ditawarkan secara rundingan terus ketika pentadbiran Pakatan Harapan.

Berdasarkan senarai itu, dua projek rundingan terus melibatkan KPKT ialah cadangan projek membina, mengoperasi dan menyelenggara stesen pemindahan sisa pepejal baharu di Taman Beringin, Jinjang Utara, Kepong dan Kuala Lumpur bagi menggantikan stesen pemindahan sisa pepejal sedia ada yang diberikan kepada syarikat Bumi Segar Indah Sdn Bhd dengan jumlah RM170,294,400.

Manakala satu lagi projek melibatkan kontrak perkhidmatan penyelenggaraan sistem kewangan dan perakauan saga yang diberikan kepada syarikat Century Software (Malaysia) Sdn Bhd bernilai RM501,206.37. — Alhijrah Online / Zaim Zamani

Leave a Reply