SERANGAN MASJID DI CHRISTCHURCH: PENEMBAK DIPENJARA SEUMUR HIDUP TANPA PAROL

WELLINGTON: Mahkamah di New Zealand hari ini menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup tanpa parol kepada seorang lelaki yang didapati bersalah membunuh 51 individu beragama Islam di dua masjid di Christchurch, tahun lalu.

Lapor Reuters ini merupakan kali pertama hukuman penjara seumur hidup tanpa parol disabitkan kepada pesalah di New Zealand.

Tertuduh Brenton Tarrant, 29 tahun yang merupakan lelaki warganegara Australia mengaku bersalah atas 51 tuduhan membunuh, 40 tuduhan cubaan membunuh dan satu tuduhan perbuatan keganasan dalam tragedi tembakan tidak berperikemanusiaan yang menggemparkan dunia itu.

Insiden pada 15 Mac 2019 itu juga mengejutkan dunia apabila kejadian pembunuhan tersebut turut disiarkan secara langsung di laman Facebook oleh lelaki itu.

Bagi Imam Masjid Al Noor (salah sebuah masjid yang diserang), Gamal Fouda, hukuman itu tidak dapat menggantikan kehilangan orang tersayang namun beliau berbangga dengan tindakan New Zealand ke atas isu ekstremisme. — AlHijrah Online

Leave a Reply