LANGGAR SOP: POLIS SIASAT PENGURUS MAJLIS PERKAHWINAN

KUALA LUMPUR: Seorang wanita dipanggil polis bagi memberi keterangan berhubung penganjuran majlis perkahwinan sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sebuah dewan di Jalan Ampang, di sini, pada 27 Julai lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Deputi Supt Saralathan Duraisamy berkata, pihaknya menerima laporan selepas gambar majlis perkahwinan itu tular di media sosial.
Difahamkan wanita berusia 36 tahun yang merupakan pengurus lokasi majlis telah hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju pada jam 10 malam tadi.
“Hasil siasatan mendapati terdapat individu yang berkumpul tanpa penjarakan fizikal.
“Penganjur telah menyewa dewan tersebut daripada sebuah syarikat pengurus perkahwinan,” katanya hari ini.
Menurut Saralathan, individu yang terlibat dalam majlis tersebut akan dipanggil dalam masa terdekat bagi memberi keterangan berhubung kes itu.
Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.
Orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi memutuskan rantaian pandemik COVID-19.—AlHijrah Online