WARGA PENDIDIK TERIMA VAKSIN SEBELUM SEPTEMBER

Sumber Gambar: AFP

KOTA TINGGI: Seramai 85,000 guru di seluruh negara yang masih belum divaksin dijangka akan menerima suntikan vaksin sebelum sesi persekolahan dibuka September ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, senarai penuh nama guru sudah diberikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kepada Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) bagi memastikan semua warga pendidik divaksinasi sebelum sekolah dibuka secara berperingkat.

Tambah Adham, anggota kumpulan pelaksana dan perkhidmatan sokongan termasuk pengendali kantin sekolah, pemandu bas serta pengawal keselamatan juga akan menerima suntikan vaksin bagi mencapai imuniti di kawasan sekolah.

“Saya sendiri telah meneliti nama guru tersebut dan telah membuat permintaan pada CITF agar kumpulan ini diberikan sebelum September,” katanya selepas meninjau Program Outreach Vaksinasi bersama Institut Jantung Negara (IJN) di Dewan Semanggar, di sini hari ini.

Dalam perkembangan yang sama, pihak kementeriannya sedang meneliti data klinikal yang lebih tepat dan terkini daripada Pfizer sebelum membuat keputusan menjalankan vaksinasi terhadap pelajar sekolah.

Setakat ini, seramai 326,998 guru telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, manakala 215,999 guru lengkap dos vaksinasi.—AlHijrah Online

Leave a Reply