MESYUARAT KHAS DEWAN NEGARA DITANGGUHKAN

Sumber Gambar: BERNAMA

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Khas Dewan Negara yang dijadualkan berlangsung pada 3 hingga 5 Ogos ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Berdasarkan notis yang dikeluarkan Setiausaha Dewan Negara Muhd Sujairi Abdullah, pejabat Yang Dipertua Dewan Negara telah dimaklumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung penangguhan persidangan berkenaan selaras Peraturan Mesyuarat 10(3) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara.

Notis Muhd Sujairi kepada Ahli Dewan Negara bertarikh hari ini turut memaklumkan, penangguhan tersebut selaras cadangan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah serta penilaian risiko semasa terhadap penularan wabak COVID-19 yang dijalankan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Susulan perkembangan terbaharu penularan jangkitan COVID-19, KKM berpendapat bahawa Parlimen Malaysia merupakan lokaliti berisiko berlakunya penularan jangkitan itu,” katanya.

Semalam, Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin mengeluarkan notis kepada Ahli-ahli Dewan Rakyat memaklumkan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat yang dijadualkan berlangsung Isnin, 2 Ogos, ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Ia berikutan sejumlah 11 kes positif COVID-19 dikesan di Parlimen selepas ujian saringan dilakukan ahli-ahli Parlimen menerusi Kit Ujian Rapid Antigen pada Khamis lepas.—AlHijrah Online

Leave a Reply