LEBIH 6,200 MASJID, SURAU DIBUKA BERSYARAT UNTUK SOLAT JUMAAT HARI INI

Last Updated on

KUALA LUMPUR: Sebanyak 6,277 masjid dan surau dibuka secara bersyarat untuk solat Jumaat di seluruh negara hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata sebanyak 4,353 masjid dan surau turut dibuka secara bersyarat untuk solat sunat Aidilfitri pada Ahad lalu.

Berterima kasih kepada umat Islam yang terus berdoa kepada Allah swt, Zulkifli berkata mulai 15 Mei lalu, masjid dan surau di seluruh negara dibuka secara bertahap dan bersyarat.

“Walaupun secara umumnya, pembukaan masjid dan surau hanya terhad kepada Jawatankuasa dan ahli kariah yang terpilih sahaja buat masa ini, ia tetap membuktikan kesungguhan dan komitmen pihak berkuasa agama negeri dalam melaksanakan Garis Panduan Solat Jumaat dan Solat Hari Raya Aidilfitri Dalam Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti yang telah dicadangkan dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-5 pada 8 Mei 2020.

“Saya dengan rendah hati amat menjunjung hikmah dan kebijaksanaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dalam mempertimbangkan dan memutuskan sebarang urusan berkaitan hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan, negeri-negeri tidak beraja dan negeri-negeri.

“Dalam masa yang sama, pihak berkuasa agama negeri-negeri juga diminta untuk mengambil serius prosedur standard operasi yang telah saya nyatakan dalam sidang media pada 14 Mei 2020,” katanya dalam entri terkini beliau di Facebook hari ini.

Zulkifli turut menyeru umat Islam mematuhi setiap prosedur standard operasi ditetapkan pihak berkuasa agama negeri dengan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Sekiranya tahap kepatuhan kepada garis panduan sudah konsisten mencapai 100 peratus dalam tempoh masa sesuai bagi Kementerian Kesihatan Malaysia, saya yakin kita bersedia untuk melangkah menuju “exit-plan” bagi pembukaan masjid dan surau dalam norma baharu.

“Sama-samalah kita berdoa agar wabak ini berlalu pergi dan kita boleh kembali mengimarahkan rumah Allah SWT dengan hati yang gembira dan tenang.

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْبَرَصِ وَالْجُنُونِ وَالْجُذَامِ وَمِنْ سَيِّئِ الأَسْقَامِ

“Ya Allah aku berlindung denganMu daripada penyakit sopak, penyakit gila, penyakit kusta dan daripada segala penyakit berbahaya yang lain.”

Statistik harian COVID-19 menunjukkan trend menyakinkan di Malaysia dengan angka jangkitan menurun kepada dua digit sejak kebelakangan ini. — AlHijrah Online

Leave a Reply