COVID-19: MALAYSIA-TURKI SEDIA KERJASAMA BANGUNKAN VAKSIN

KUALA LUMPUR: Malaysia sedia bekerjasama dengan Turki dalam membangunkan vaksin dan ubat-ubatan berkaitan COVID-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menerima panggilan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan semalam, memaklumkan kedua-dua pemimpin negara itu turut bersepakat untuk memanfaatkan kekuatan dan kepakaran masing-masing dalam memerangi penularan pandemik dan pasca-COVID-19.

“Semalam saya menerima panggilan telefon daripada Tuan Yang Terutama Recep Tayyip Erdogan, Presiden Turki. Saya menzahirkan rasa simpati dan solidariti Malaysia atas bilangan kes dan jumlah kematian yang tinggi akibat COVID-19 yang direkodkan di Turki.

“Saya juga berkongsi pengalaman Malaysia dalam menangani COVID-19, antaranya, pelaksanaan beberapa siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu yang menyaksikan jumlah jangkitan dan kematian semakin menurun manakala kadar pemulihan kini melebihi 80 peratus,” katanya dalam entri Facebooknya hari ini. 

Perdana Menteri berkata langkah memperkasa hubungan dua hala sedia ada dan meningkatkan kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, pelancongan, pendidikan tinggi, perubatan dan teknologi pertahanan turut dibincang bersama Erdogan.

Presiden Turki itu turut membangkitkan peranan besar Malaysia dalam memperjuang nasib rakyat Palestin.

Muhyiddin berkata Turki menyeru agar Malaysia terus aktif di persada antarabangsa, antaranya, menolak sekeras-kerasnya tindakan unilateral Israel ke atas Palestin termasuk merampas tanah milik rakyat Palestin.

“Saya mengulangi komitmen Malaysia untuk terus bekerjasama dengan mana-mana negara yang mempunyai objektif yang sama iaitu menyokong rakyat Palestin untuk bebas daripada penjajahan Israel dan merealisasikan aspirasi sebuah negara Palestin yang bebas. 

Kedua-dua pemimpin mengakhiri perbualan kira-kira 30 minit itu dengan bersepakat menekankan bahawa semua inisiatif kerjasama dua hala harus disambung semula sebaik saja pandemik COVID-19 berakhir.

Muhyiddin dan Erdogan juga turut mengucapkan salam Aidilfitri dalam perbualan itu. — AlHijrah Online

Leave a Reply