MASJID NABAWI DIBUKA SECARA BERPERINGKAT MULAI 8 SYAWAL

KUALA LUMPUR: Masjid al-Nabawi di Madinah akan mula dibuka secara berperingkat mulai esok (8 Syawal 1441H) dengan langkah pencegahan COVID-19, demikian menurut Haramain.info hari ini.

Haramain.info memaklumkan Masjid al-Nabawi, di mana terletaknya makam junjungan besar Rasulullah saw, tidak akan dibuka sepenuhnya kepada umum tetapi secara berperingkat.

Posting terkini instagram Haramain.info berkata semua karpet di mana jemaah mengerjakan ibadah solat dialihkan dan jemaah hanya boleh solat di atas lantai marmar masjid berkenaan.

“Hanya ruang sambungan dan halaman masjid dibuka kepada jemaah. Pintu masuk Rawdah masih belum dibuka kepada orang awam/jemaah.

“Jemaah perlu mematuhi langkah-langkah pencegahan ditetapkan dan memakai pelitup muka ketika mengerjakan solat di Masjid Nabi,” kata Haramain.info mengenai khabar gembira kepada umat Islam itu.

Kerajaan Arab Saudi pada hujung Mac lalu melarang orang ramai dari solat di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi bagi mengekang penularan COVID-19.

Haramain.info turut memaklumkan terdapat perancangan melakukan proses nyahkuman dan membasuh lantai Masjid Nabi setiap kali solat diadakan.

“Pembayaran parking di Masjid Nabawi boleh dilakukan melalui  pembayaran elektronik melalui telefon pintar,” kata kenyataan itu menegaskan penggantungan iftar di masjid itu masih berkuat kuasa.

Jemaah dibenarkan memasuki kawasan masjid itu dengan tidak melebihi 40 peratus kapasiti Masjid Nabawi.

Pengedaran air zamzam di dalam botol dan container di kawasan masjid masih digantung sementara.

“Kita berharap semua pihak akan mematuhi langkah pencegahan yang ditetapkan dalam memastikan keselamatan setiap jemaah,” kata Haramain.info. – AlHijrah Online/ Syed Azwan Syed Ali

Leave a Reply