LELAKI DIDAKWA TUNGGANG MOTOSIKAL LAWAN ARUS SEBABKAN KEMATIAN PENUNGGANG DUCATI

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang hari ini atas pertuduhan menunggang motosikal dengan cara melawan arus sehingga menyebabkan seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut di Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), 14 Jun lepas.
Mudzyadaha Mohammad, 42, yang mengalami patah tangan kanan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Amalina Basirah Md Top.
Mengikut pertuduhan, bapa tiga anak itu didakwa menunggang motosikal dengan cara melawan arus yang berbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian Ahmad Fadzil Omar Azaddin, 64, di kilometer 22.2 Lebuhraya SUKE, pada 1.10 tengah hari.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87) dan boleh dihukum di bawah peruntukan akta sama, yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda tidak kurang RM20,000 dan maksimum RM50,000 selain hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun dari tarikh sabitan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Annur Athirah Amran memohon jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri di balai polis berhampiran sehingga kes selesai.
Peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Izleen Ismail memohon jaminan rendah kerana tertuduh merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) yang mengalami masalah mental serta menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Fakta ini disahkan menerusi surat rujukan yang dikeluarkan oleh seorang doktor di Hospital Kajang. Ini membuktikan bahawa semasa kejadian tertuduh tidak dapat berfikir dengan waras mengakibatkan berlakunya perlanggaran berlawanan,” katanya.
Menurut Izleen, tertuduh mengalami masalah itu kerana beliau telah kehilangan kerja sebagai pemandu kereta api sehingga menyebabkannya mengalami tekanan.
“Akibat daripada kesempitan wang dan faktor ekonomi yang meruncing, tertuduh mengalami tekanan yang bertambah pada setiap hari kerana beliau memandu lori yang berpendapatan RM2,200 sebulan dan menyara tiga orang anak manakala isterinya tidak bekerja.
“Sehubungan itu, saya mohon mahkamah memerintahkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak untuk pemeriksaan mental,” kata Izleen.
Amalina Basirah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin selain menyerahkan lesen memandu kepada mahkamah sehingga kes selesai dan menetapkan 10 Ogos ini untuk sebutan kes.
“Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia,” katanya.
Sementara itu, anak mangsa iaitu Muhammad Hafidz, 36, yang hadir pada prosiding hari ini ketika ditemui pemberita berkata beliau menyerahkan kepada mahkamah untuk memutuskan kes yang membabitkan bapanya itu.
“Hanya Allah sahaja yang tahu bagaimana perasaan saya ketika ini kerana hilang orang yang paling rapat dalam hidup saya,” kata anak sulung daripada empat beradik itu.
Sebelum ini media melaporkan, Ahmad Fadzil meninggal dunia selepas terjatuh dari jejambat Lebuhraya SUKE dengan ketinggian 30 meter akibat mengelak daripada melanggar sebuah motosikal yang melawan arus.
Allahyarham yang menunggang motosikal jenis Ducati Panigale, maut di lokasi kejadian dan rakaman kamera litar tertutup kejadian berkenaan tular menerusi media sosial.–AlHijrah Online