LELAKI DIPENJARA LIMA BULAN LINDUNG LONG TIGER

SUNGAI PETANI: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret Sungai Petani hari ini selepas mengaku bersalah kerana melindungi ‘Long Tiger’ di rumahnya bulan lalu.

Tertuduh, Rusli Mat, 47, yang bekerja sendiri membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nurul Ainna Ahmad.

Mengikut pertuduhan, Rusli didakwa melindungi Abdul Hamim Abd Hamid atau dikenali ‘Long Tiger di sebuah rumah bernombor 854A Kebun Tebu, Jalan Kuala Ketil pada jam 3.15 petang, 28 Disember lalu.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 216 Kanun Keseksaan kerana melindungi pesalah yang lari daripada jagaan atau yang diperintah supaya ditangkap.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun dan juga denda.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Azreem Mamat dan Zulfadzly Hassan, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ruzanna Abdul Rahim.

Ruzanna memohon mahkamah meringankan hukuman kerana ini adalah kesalahan pertama tertuduh selain dia tidak mempunyai rekod jenayah.

Nurul Ainna kemudian menetapkan hukuman lima bulan penjara kepada tertuduh.

Pada 28 Disember tahun lalu, ‘Long Tiger’ yang melarikan diri dari lokap Mahkamah Tangkak Johor berjaya ditahan semula sepasukan polis Bukit Aman dan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor di rumah Rusli.

Ketika serbuan itu, penghuninya enggan membuka pintu dan ’Long Tiger’ dikesan cuba melarikan diri dengan memanjat bumbung rumah berkenaan namun terjatuh. – AlHijrah Online

Leave a Reply