PEMBUNUH IMAM FADI DIPERCAYAI PENDUDUK GAZA DIREKRUT MOSSAD

Sumber Gambar: AFP

KUALA LUMPUR: Suspek pembunuhan pensyarah Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL BMI), Dr Fadi Mohammad Al-Batsh, dipercayai merupakan penduduk tempatan Gaza.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, penahanan suspek itu berlaku di dalam Gaza.

“Bila dia (suspek) berada di dalam Gaza, maksudnya dia adalah penduduk Gaza. Dia bukan orang Israel sebab mereka sangat susah untuk masuk ke dalam bumi Gaza dan sukar untuk ditangkap.

“Saya percaya suspek merupakan penduduk tempatan Gaza yang direkrut oleh pihak Mossad (agensi pengintip Israel) dan dihantar melakukan pembunuhan di Malaysia,” katanya dalam sesi wawancara dalam Berita AlHijrah edisi 10 Januari 2022.

ARTIKEL BERKAITAN – PEMBUNUH IMAM FADI DITANGKAP DI GAZA?

Ujar Nadir, isu mengintip dari dalam bumi Gaza bukan perkara yang janggal atau luar biasa, ianya merupakan satu senjata besar pihak Mossad bagi memerangi musuhnya dari dalam dan luar bumi Palestin.

Sementara itu, pihak berkuasa Palestin semalam mengesahkan telah menahan suspek pembunuhan Dr Fadi di Palestin.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri dan Keselamatan Negara, Iyad Albizm berkata, suspek telah mengaku terlibat dalam pembunuhan tersebut. —AlHijrah Online

Leave a Reply