Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

LELAKI HAMPIR TERJATUH TANAH JERLUS DI JALAN MASJID INDIA, SAH PELUK ISLAM TIGA HARI KEMUDIAN – ABIM

DALAM NEGARA

LELAKI HAMPIR TERJATUH TANAH JERLUS DI JALAN MASJID INDIA, SAH PELUK ISLAM TIGA HARI KEMUDIAN – ABIM

Seorang lelaki Hindu warga tempatan memeluk agama Islam tiga hari selepas melalui detik cemas hampir terjatuh ke dalam tanah jerlus di Jalan Masjid India Jumaat minggu lalu. 

Haridath (tengah) melafazkan dua kalimah syahadah pada Isnin lalu. – Foto ABIM

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki Hindu warga tempatan memeluk agama Islam tiga hari selepas melalui detik cemas hampir terjatuh ke dalam tanah jerlus di Jalan Masjid India Jumaat minggu lalu. 

Perkara itu disahkan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, yang membantu urusan lelaki dikenali sebagai Kalidass, 48, melafaz dua kalimah syahadah dengan nama Islamnya, Haridath.

“ABIM maklum akan berita dan maklumat yang tular dalam beberapa platfrom media sosial berkenaan pengIslaman seorang saudara baru selepas tragedi tanah jerlus di Masjid India, Kuala Lumpur.”

“ABIM mengesahkan bahawa saudara baru tersebut memeluk Islam di bawah kelolaan Islamic Outreach ABIM (IOA) Centre, Masjid Negara Kuala Lumpur pada hari Isnin lalu,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, Haridath telah datang sendiri untuk bertemu pihak ABIM dan menyatakan hasratnya.

“Beliau juga memaklumkan sudah lama berniat untuk memeluk Islam. Beliau datang dalam keadaan bersedia, malah hadir bersama-sama dua saksi yang merupakan kenalannya.

“Cuma peristiwa hampir terjatuh ke dalam lubang akibat tanah jerlus di Jalan Masjid India itu menjadi ‘wake up call’ untuk beliau tidak bertangguh lagi,” katanya memetik laporan Berita Harian, hari ini.

Dalam kejadian di Jalan Masjid India pada Jumaat minggu lalu, tular rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan seorang wanita tiba-tiba terjatuh ke dalam lubang benam, manakala Haridath yang sedang duduk di situ dilihat sempat menyelamatkan diri meskipun sebelah kakinya sudah terjerlus ketika itu.

Ahmad Fahmi berkata, Haridath turut berkongsi pengalaman menakutkan itu pada pertemuan mereka di pejabat IOA Centre.

“Haridath menceritakan detik dirinya hampir menjadi mangsa insiden itu, malah memberitahu bahawa beliau mengenali wanita warga India yang terjatuh ke dalam lubang berkenaan kerana sering datang melancong ke Malaysia,” katanya.

Malah ketika kejadian, beliau berkata, suami wanita warga India itu berjalan tidak jauh di belakang mangsa, cuma tiada kelihatan dalam rakaman CCTV yang tular.

“Mungkin asbab kejadian itu, beliau mendapat hidayah daripada Allah SWT untuk terbuka hati terus memeluk agama Islam,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berharap semua pihak memberi ruang kepada saudara baharu itu untuk bertenang, sekali gus mendoakan dan menghormati privasi Haridath.

“ABIM menegaskan bahawa sesungguhnya, mempunyai agama adalah hak dan fitrah semula jadi manusia. Justeru, sudah semestinya tiada siapa pun yang boleh memaksa atau dipaksa dalam perkara beragama.

“Pada masa sama, kami mendoakan operasi pencarian mangsa tanah jerlus di Jalan Masjid India dipermudahkan, dan turut menzahirkan perasaan simpati buat keluarga mangsa,” katanya. –AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading