LELAKI MENYAMAR ANGGOTA POLIS CURI MOTOSIKAL

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki di sekitar Mutiara Damansara dekat sini semalam, yang disyaki mencuri motosikal Yamaha RXZ di sebuah pangsapuri bersama dengan seorang lagi suspek yang masih bebas selepas menyamar sebagai anggota polis, Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata lelaki berumur 31 tahun yang ditahan pada pukul 11.50 malam itu kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A/170 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata hasil soal siasat, lelaki berkenaan mendakwa dia bersama dengan seorang kawannya yang dikenali sebagai ‘Mamat Mulong’ mengangkut motosikal itu dengan menggunakan sebuah lori yang dipandunya.

“Suspek mendedahkan bahawa dia ditawar oleh ‘Mamat Mulong’ untuk melakukan kerja sambilan iaitu mengambil sebuah motosikal dengan bayaran upah RM100,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Katanya susulan penahanan itu polis merampas sebuah lori, empat buah telefon bimbit pelbagai jenama, sebatang spanar berbentuk ‘T’ yang telah diubah suai.

Mohamad Fakhrudin berkata polis sedang berusaha mengesan dua individu termasuk ‘Mamat Mulong’ bagi membantu siasatan, dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung individu itu diminta menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat Sarjan Muhamad Azizi Bajan dengan menelefon 010-5882574.

Semalam, tular satu video berdurasi 39 saat di Facebok yang dimuat naik pemilik akaun ‘Kaki Restor’ memaparkan dua lelaki yang mendakwa mereka anggota polis sedang mengangkut sebuah motosikal Yamaha RXZ berwarna biru ke dalam sebuah lori. 

Motosikal berkenaan disedari hilang oleh pemiliknya kira-kira pukul 5.20 petang Rabu lepas dan menurut menurutnya pemilik motosikal itu suspek memasuki pangsapurinya dengan mengaku sebagai anggota polis kepada pengawal keselamatan serta mendaftar nama dan nombor kad pengenalan di pondok pengawal. – AlHijrah Online

Leave a Reply