LELAKI TERJUN JAMBATAN RUPA-RUPANYA DAH PULANG KE RUMAH

JERTIH: Seorang lelaki yang disangkakan lemas selepas terjun dari Jambatan Jertih setinggi kira-kira 20 meter di Sungai Besut petang semalam rupanya berada dalam keadaan selamat dan telah pulang ke rumahnya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, DSP Azrol Anuar Nor berkata, isteri kepada lelaki berusia 56 tahun itu telah tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Besut pagi tadi memaklumkan suaminya telah pulang pada semalam.

Azrol berkata, wanita tersebut hanya mengetahui operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan setelah melihat kejadian itu tular di laman Facebook.

Ujarnya, lelaki itu memaklumkan dia nekad untuk terjun dari jambatan kerana berasa hawa panas memasuki tubuhnya melalui tangan hingga ke kepala setiap masa terutama pada waktu tengah hari.

Menurut Azrol, lelaki tersebut mengadu kepada isterinya ada mengalami kesakitan di bahagian tubuh sebelum dibawa ke hospital besut untuk rawatan.

Katanya, sehubungan itu operasi mencari dan menyelamat mangsa yang disertai 27 anggota termasuk pegawai daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), dihentikan serta merta.

Dalam kejadian pukul 3.30 petang semalam seorang lelaki berbaju kelabu dan memakai kain sarung dipercayai terjatuh dari Jambatan Jertih, Sungai Besut.

Berdasarkan maklumat awal, saksi yang sedang dalam perjalanan ke arah Bandar Jertih melihat mangsa berada di atas jambatan tersebut.

Setelah melepasi jambatan itu, saksi berkenaan tidak melihat kelibat mangsa melalui cermin sisi kenderaannya dan mengesyaki lelaki itu telah terjun sebelum menghubungi pihak polis. – AlHijrah Online

Leave a Reply