LELAKI TERJUN LAUT KONON MAHU KE MAKKAH

GEORGETOWN: Seorang lelaki yang bertindak terjun ke laut di Jeti Tanjung City Marina, di sini memberi alasan beliau hendak ke Tanah Suci Makkah.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Soffian Santong berkata, kejadian melibatkan individu berusia 28 tahun itu disedari orang awam yang ternampak seorang lelaki sedang terapung di tengah laut berhampiran Jeti Tanjung City Marina, kira-kira jam 4.55 petang.

“Hasil siasatan awal mendapati lelaki berkenaan merupakan individu yang sama dalam kejadian dilaporkan pada 12 Julai lalu. Dia bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh polis marin.

“Kali ini, dia memberi alasan mahu berenang untuk ke Tanah Suci Makkah,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Dalam kejadian 12 Julai lalu, seorang lelaki di Pulau Pinang dilapor tekad terjun ke laut dan berenang dipercayai untuk menemui rakannya di Seberang Perai.

Sementara itu memetik laporan Sinar Harian, susulan kejadian terbaharu lelaki tersebut dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi mendapatkan rawatan dan penilaian tahap kesihatan mental.

“Ujian saringan awal air kencing terhadapnya menunjukkan negatif dan kini ditempatkan di Wad Psikiatrik Jalan Perak di sini untuk rawatan lanjut,” katanya.

Soffian mengulas, hasil penilaian hospital mendapati lelaki berkenaan tidak mengalami sebarang masalah mental.

Lelaki tersebut telah diambil oleh ibu bapanya bagi mendapatkan rawatan pemulihan di Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Pulau Pinang kerana mengalami ketagihan dadah yang serius.—AlHijrah Online

Leave a Reply