Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

MADAD TERUSKAN HASRAT AZRAAI KHOR WUJUD AKADEMI BOLA SEPAK BERTERAS ISLAM

DALAM NEGARA

MADAD TERUSKAN HASRAT AZRAAI KHOR WUJUD AKADEMI BOLA SEPAK BERTERAS ISLAM

Pengarah Urusan MADAD, Mohammad Yaakub Yusra Mohd Yusuff berkata, Mohd Azraai amat bersungguh-sungguh ketika memberi idea dan merealisasikan akademi berkenaan malah pernah berkata program tersebut adalah saham akhiratnya.

SUNGAI PETANI: Murtadha Dakwah Center (MADAD) akan meneruskan hasrat dan impian bekas lagenda bola sepak Kedah Allahyarham Mohd Azraai Khor Abdullah, 72, untuk mewujudkan akademi bola sepak berteraskan Islam.

Pengarah Urusan MADAD, Mohammad Yaakub Yusra Mohd Yusuff berkata, Mohd Azraai amat bersungguh-sungguh ketika memberi idea dan merealisasikan akademi berkenaan malah pernah berkata program tersebut adalah saham akhiratnya.

Katanya, terakhir kali Allahyarham menghubunginya Khamis lalu namun beliau tidak sempat menjawab panggilan itu dan kemudian jam 10.43 pagi Mohd Azraai meninggalkan pesanan suara memaklumkan dirinya tidak sihat dan melahirkan kebimbangan dengan perjalanan program MADAD Soccer Academy.

Namun tidak lama selepas itu Mohammad Yaakub menerima panggilan memaklumkan Mohd Azraai sudah meninggal.

Katanya, Allahyarham selalu menyebut inilah sumbangan terakhirnya dan mahu MADAD Soccer Academy digerakkan sebaik mungkin.

“Arwah menjalin kerjasama dengan MADAD sejak tahun lalu bagi mencari bakat muda di seluruh daerah negeri ini untuk diserapkan ke dalam MADAD Soccer Academy.

“Hasrat Allahyarham nak cari orang yang pandai main bola dan hafal al-Quran. Main bola wajib tutup aurat, kalau ada yang mai pemilihan tak tutup aurat, dia tak bagi main.

“Inilah Azraai Khor, dia tak perlu jadi ustaz, tapi dia bawa agama dalam kehidupan orang lain.

“Insya-allah mudah-mudahan hasrat arwah sentiasa nak pembangunan bola sepak sentiasa dikembangkan dan bukan sahaja dikembangkan di dalam bola tapi diasuh dengan didikan agama jadi dapat kita bawa ke peringkat lebih baik,” katanya ketika menghadiri pemilihan terakhir Madad Soccer Academy di UITM merbok di sini hari ini.

Jelasnya, MADAD Soccer Academy adalah satu-satunya akademi yang ditinggalkan oleh Allahyarham untuk dikenang dan beliau akan mengekalkan akademi itu sampai bila-bila.

Pada sesi pemilihan terakhir ini seramai 20 hingga 25 pemain akan terpilih untuk menyertai MADAD Soccer Academy yang akan bermula penghujung Mac ini.

“Kita mensasarkan untuk membawa MADAD Soccer Academy ini ke seluruh Malaysia dan ini sebagai permulaan untuk mencari 20 ke 25 orang pemain dan Insya-Allah pada masa hadapan kita akan kembangkan untuk mencari bakat-bakat muda ni di seluruh Malaysia sebab kita lihat ramai yang datang pemilihan termasuk dari luar negeri Kedah antaranya Negeri Sembilan, Perak, Kuala Lumpur dan Pahang,” katanya.

Sebelum ini, bekas ketua jurulatih Kedah itu dilaporkan meninggal dunia akibat serangan strok pada Khamis.

Allahyarham mencatat sejarah membawa Kedah muncul juara double treble pada 2007 dan 2008, selain turut pernah membimbing beberapa pasukan tempatan lain seperti Negeri Sembilan dan Perak serta menjadi ketua jurulatih skuad Harimau Muda pada 2010.

Selain usaha menggerakkan akademi bola sepak, MADAD juga sedang membangunkan Murtadha Dakwah Centre iaitu sebuah pusat komuniti Islam yang dilengkapi masjid, rumah warga emas, pusat tahfiz integrasi, kapsul hotel, stadium e-sports, hub sukan sunah serta penyediaan khidmat pengurusan jenazah yang dilakukan secara percuma.

Untuk mereka yang mahu mengejar saham akhirat dengan bersama-sama menjayakan penubuhan Murtadha Dakwah Centre, boleh salurkan sumbangan ke akaun Maybank 5520 5987 5760 atas nama Yayasan Murtadha Berhad, atau boleh klik link http://www.madadcentre.com serta boleh juga hubungi nombor hotline 014-601 9090 atau 014- 601 9494. – AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading