GAZA: Seorang kanak-kanak Palestin, Hind Rajab, enam tahun, yang hilang selama 12 hari lalu, ditemui syahid bersama lima ahli keluarganya, di Tal al-Hawa, Selatan Gaza.
Memetik laporan WAFA, Hind Rajab dan ahli keluarganya syahid semasa terperangkap dalam kenderaan dinaiki mereka yang bertembung dengan kereta kebal rejim Zionis Israel.
Datuk kepada Hind, Baha Hamada berkata, mereka menemui mayat kesemua yang syahid itu selepas rejim Zionis Israel berundur daripada kawasan itu pada waktu Subuh tadi.
Sementara itu, Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PCRS) memaklumkan dua anggotanya, Yusuf Zeino dan Ahmad al-Madhoun, yang ditugaskan untuk menyelamatkan Hind, juga ditemui syahid selepas hampir 12 hari terputus hubungan.
“Rejim Zionis sengaja mengebom ambulans yang tiba di lokasi itu yang ditemui beberapa meter dari kenderaan yang dinaiki Hind dan ahli keluarganya.
Terdahulu, rejim Zionis Israel bertindak menahan kenderaan yang dinaiki Hind dan ahli keluarganya sebelum melepaskan tembakan bertubi-tubi ke arah mereka.
Tular sebuah rakaman audio seorang kanak-kanak yang merupakan saudara Hind, yang meminta pertolongan daripada PCRS di tengah-tengah bunyi tembakan yang berterusan sebelum panggilan telefon itu terputus.—AlHijrah Online