MAUT SELEPAS DITOREH PISAU, DITIKAM DENGAN BOTOL ARAK

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang suspek dipercayai terlibat dalam kes bunuh di Jalan Telawi, Bangsar, jam 1 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, pihaknya menahan suspek dalam serbuan di Jalan 11 Selayang Baru, Batu Caves jam 3.30 petang semalam.

“Kami menahan seorang lelaki berusia 26 tahun, semakan mendapati suspek mempunyai rekod berkaitan kes dadah,” katanya.

Tambahnya, polis juga mendapat maklumat lokasi suspek lain yang masih bebas namun suspek tersebut berjaya melarikan diri.

Bagaimanapun, tindakan lanjut bagi mengesan suspek berkenaan sedang giat dijalankan.

Semalam, seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera parah dalam kejadian pergaduhan di Jalan Telawi, Bangsar, pada Sabtu.

Anuar memaklumkan mangsa berusia 28 tahun itu maut semasa menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas ditoreh dengan senjata berupa pisau selain ditikam dengan botol minuman keras.

“Seorang lagi rakan mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian muka sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya.

Anuar mengulas lanjut, motif pergaduhan dipercayai akibat dendam lama antara mangsa dan suspek.—AlHijrah Online

Leave a Reply