TIDAK BOLEH LARANG SESIAPA GUNA PERKATAAN ALLAH, NAMUN ADA BATAS – HADI AWANG

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan sesiapa pun tidak boleh dilarang daripada menggunakan perkataan Allah, walaupun individu tersebut menganut selain daripada agama Islam.

Menerusi hantaran di laman Facebook beliau, golongan yang berpelajaran tinggi, termasuklah orang yang paling bodoh dan buta huruf serta orang gila dan tidak siuman, juga tidak boleh melarang mereka daripada menyebut perkataan Allah.

“Perlu diketahui bahawa maksud perkataan Allah yang sebenar adalah mengikut asal usul daripada bahasa Arab yang menjadi bahasa asal bagi al-Quran.

“Semua bangsa yang menganut Islam tidak menterjemahkan perkataan Allah dalam bahasa masing-masing, kerana tiada perkataan yang seerti dengannya,” dalam hantarannya di laman Facebook.

Abdul Hadi merujuk perkataan Allah dalam Bahasa Arab, bermakna sesungguhnya Dia sahaja Tuhan yang Maha Esa, Tuhan yang layak disembah dengan beribadat kepada-Nya secara ikhlas, dipatuhi hukum dan undang-undang yang telah ditetapkan-Nya, beribadat kepada-Nya sahaja dan tiada lagi Tuhan selain daripada-Nya.

“Pada asalnya dalam semua kitab agama Allah SWT, telah ditegaskan bahawa Allah SWT sahaja Tuhan yang sebenar.

“Adapun kepercayaan yang muncul selepas itu telah terseleweng kerana diubah dan dipinda,” katanya.

Tegas Presiden PAS itu, jika tujuan menggunakan perkataan Allah untuk mengelirukan atau menghina penganut Islam, maka perlu ada sempadan (batas) serta hukumnya.

Sementara itu, Abdul Hadi menyatakan semua pihak perlu meletakkan kebijaksanaan masing-masing serta menjaga sensitiviti dalam konteks masyarakat majmuk mengikut sempadannya yang sebenar dan secara saksama.—AlHijrah Online

Leave a Reply